
Beliau berkata, pendirian itu selari pandangan Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad, yang menyatakan sebarang pertandingan jika tidak membawa mudarat dan tidak berbahaya kepada peserta, tidak dihalang dalam Islam.
“Saya setuju dengan pandangan mufti Kelantan sebagaimana dilaporkan. Selagi mana ianya tidak melampau batas dan melanggar undang-undang dan peraturan negeri, anggaplah ia hanya sekadar hiburan semata-mata,” katanya kepada FMT.
Namun, Fadzli mengingatkan penganjur dan peserta tidak keterlaluan sehingga boleh menjejaskan imej individu mahupun negeri.
“Cumanya, jangan berlebihan sehingga membawa kepada imej yang tidak baik kepada individu atau negeri. Masyarakat Kelantan ini memang unik dan kreatif. Sudah ada sebelum ini permainan atau pertandingan yang berbentuk hiburan hasil dari kreativiti penganjur,” katanya.
Sebelum ini, tular beberapa video pertandingan menangis di Kelantan yang menerima kecaman orang ramai, menyifatkan pertandingan itu memalukan dan tidak sesuai dengan imej Kelantan yang dikenali sebagai negeri serambi Makkah.
Penaja ekspo di RTC Tunjung Kota Bharu, Wan Mohamad Rahimie Syazrin Ab Rahim, menjelaskan pertandingan itu dibuat lebih kepada mahu berkongsi rezeki dan peserta hadir secara sukarela tanpa paksaan.
Susulan itu, mufti Kelantan berkata sebarang pertandingan jika tidak membawa mudarat dan tidak berbahaya kepada peserta adalah tidak dihalang dalam Islam.
“Kalau tiada unsur negatif, Islam tak halang. Menangis jika membawa mudarat seperti melawat kubur bagi isteri kematian suami sehingga meratapi kematian arwah adalah tidak boleh.”