
Norsida Man berkata, walaupun Malaysia tidak bergantung secara langsung kepada Asia Barat, negara tetap terdedah kepada kesan tidak langsung melalui sistem perdagangan global.
Katanya, gangguan di laluan perdagangan utama seperti Laut Merah dan Selat Hormuz boleh meningkatkan kos penghantaran, melambatkan bekalan dan menaikkan harga makanan.
“Dalam ekonomi moden, gangguan logistik lebih cepat menaikkan harga berbanding kekurangan pengeluaran sebenar.
“Untuk mengatasinya terutama berkaitan harga stok penimbal juga perlu ditingkatkan,” kata pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada FMT.
Namun, Norsida mengingatkan peningkatan stok tanpa strategi boleh menyebabkan kos penyimpanan tinggi, pembaziran makanan dan beban fiskal kepada kerajaan.
“Stok penimbal perlu ditumpukan kepada makanan ruji tahan lama seperti beras dan gandum, di samping menggunakan sistem giliran stok serta kerjasama dengan sektor swasta,” katanya.
Shaufique Fahmi Ahmad Sidique juga dari UPM pula mencadangkan kerajaan memperkukuh jaminan bekalan melalui perjanjian perdagangan dan kerjasama serantau.
Katanya, langkah menambah stok penimbal dilihat lebih mahal dan perlu diteliti kerana boleh meningkatkan permintaan sekali gus mendorong kenaikan harga global.
“Jika semua negara meningkatkan stok simpanan, permintaan akan naik dan harga meningkat. Jadi, kita perlu berhati-hati,” katanya.
Sebelum ini, timbul kebimbangan bekalan dan harga makanan akan meningkat susulan krisis di Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Kebimbangan itu didorong sekatan perjalanan susulan penutupan laluan dan kenaikan kos bahan bakar.
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memberi jaminan bekalan seperti beras mencukupi sehingga hujung tahun jika tiada pembelian panik.