Naik harga lantai padi: Cadangan PN ada kesan domino

Naik harga lantai padi: Cadangan PN ada kesan domino

Pakar pertanian cadang beberapa langkah lain bagi mengelakkan kesan domino kepada pengilang dan pengguna.

sawah padi
Industri padi bergantung pada tiga pemain utama iaitu pesawah, pengilang dan pengguna.
PETALING JAYA:
Pakar pertanian meragui cadangan Perikatan Nasional yang mahu menaikkan harga lantai belian padi kepada RM3,000 satu tan metrik sekiranya ia menjadi kerajaan.

Pakar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mencadangkan beberapa langkah lain bagi mengelakkan kesan domino kepada pengilang dan pengguna.

Mengingatkan bahawa industri padi bergantung pada tiga pemain utama iaitu pesawah, pengilang dan pengguna, Fahmi Abu Bakar di UniSZA berkata kesan menaikkan harga lantai kepada dua kali akan dirasai oleh pengilang dan pengguna.

“Paling terkesan adalah pengguna. Jika harga beras mahal, pengguna akan beralih ke beras import. Jadi, boleh merugikan pesawah juga jika pengilang tak nak ambil,” katanya kepada FMT.

Kebimbangan sama disuarakan Ahmad Hanis Izani Abdul Hadi di UPM di sebalik keuntungan kepada pesawah. “Bila harga dinaikkan sehingga RM3,000, akan ada kesan domino kepada pengilang, pengeluar sampai pengguna.”

Sementara itu, Fahmi berpandangan menaikkan harga lantai sesuai apabila gaji minimum melebihi RM2,500, memandangkan rakyat akan mampu membeli barang keperluan pada harga lebih tinggi.

Buat masa ini, beliau mencadangkan kerajaan terus menyerap harga baja dan kos kenaikan bahan api untuk pesawah. “Kos makin meningkat menyebabkan pesawah akan terkesan,” katanya.

Ahmad senada dengan berkata insentif mengurangkan kos pengeluaran adalah lebih wajar. Beliau juga mencadangkan kerajaan mengapungkan harga siling beras tempatan di samping program subsidi bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang memerlukan.

Harga lantai belian padi ketika ini ditetapkan pada RM1,500 setiap tan metrik.

Pada 3 Mei lalu, PN mengumumkan ia bersedia menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada PRU16.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata komitmen itu akan dimasukkan dalam manifesto PN, lapor Sinar Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.