Penjaga pusat jagaan mengaku salah tuduhan amang seksual kanak-kanak

Penjaga pusat jagaan mengaku salah tuduhan amang seksual kanak-kanak

V Retna akan dijatuhkan hukuman bulan depan manakala pemilik pusat S Valan tidak mengaku bersalah atas empat tuduhan sama.

Tiga Individu didakwa Kes Gangguan Seksual dan Cederakan Kanak-kanak di Pusat jagaan Batu Cave
V Retna (kiri) dan S Valan (kanan) didakwa atas kesalahan kesalahan amang seksual dan seks luar tabii terhadap kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Batu Caves.
AMPANG:
Seorang penjaga pusat jagaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas 15 pertuduhan membabitkan kesalahan amang seksual dan seks luar tabii terhadap kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun.

V Retna, 25, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin dan Hakim Ho Kwong Chin.

Bagaimanapun, pemilik pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves itu S Valan, 31, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sama membabitkan kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, Retna didakwa melakukan kesalahan itu di pusat jagaan terbabit antara penghujung November 2025 hingga 27 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a), 14(b), 15(a)(i) serta 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda sehingga RM20,000.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan mahkamah menetapkan 21 Mei untuk jatuh hukum.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin dan Nadiah Malek Fauzie.

Sementara itu, Valan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun di lokasi sama antara 18 Mac 2019 hingga Ogos tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh disebat.

Valan diwakili peguam Amalia Daud dan R Rashini manakala pendakwaan turut dikendalikan Hairul serta Nadiah.

Mahkamah membenarkan Valan diikat jamin RM30,000 dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan antaranya melarang tertuduh mendekati mangsa serta mewajibkannya melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, berlaku kekecohan apabila kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah apabila dimarahi ibu bapa mangsa yang kecewa dengan perbuatan terbabit.

Pasukan keselamatan mengawal keadaan bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.