
Skim itu diperluaskan kepada pelanggan domestik dan bukan domestik voltan rendah bermeter pintar mulai 1 Jul tahun lalu, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pengguna mengurus penggunaan elektrik mengikut masa bagi menjimatkan bil bulanan.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan berkata pendekatan itu semakin penting dalam suasana ketidaktentuan harga tenaga global, dengan pengguna boleh menikmati kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak.
Menurutnya, waktu puncak bagi skim berkenaan adalah dari 2 petang hingga 10 malam pada hari bekerja, manakala waktu luar puncak meliputi 10 malam hingga 2 petang keesokan hari, selain sepanjang hujung minggu dan cuti umum.
“Perbezaan kadar itu memberi insentif kepada pengguna untuk merancang penggunaan elektrik secara lebih efisien, termasuk dengan mengalihkan penggunaan peralatan berintensiti tenaga seperti penghawa dingin, mesin basuh, pemanas air dan pengecas kenderaan elektrik ke waktu luar puncak.
“Selaras dengan itu, orang ramai digalakkan mempertimbangkan migrasi ke skim ToU bagi memanfaatkan struktur tarif lebih fleksibel serta menjadikan penggunaan tenaga sebagai satu amalan harian yang lebih bijak,” katanya.