
Sumber berkata, siasatan terkini mendapati penyelewengan dirancang dengan sistematik dan dipercayai berlaku juga transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara.
Katanya, siasatan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dipercayai membabitkan penilaian harga tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal, yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.
“Sehingga kini seramai 10 saksi dirakam percakapan dan dijangka tujuh orang lagi akan dipanggil dan dirakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi memaklumkan fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain kesalahan pecah amanah jenayah.
Katanya, penyiasatan juga menganalisis dan mengenal pasti elemen kesalahan jenayah lain berkaitan khususnya bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.
Semalam, media melaporkan bekas CEO badan berkanun kerajaan dan pengerusi sebuah syarikat direman bagi membantu siasatan skandal urus niaga saham dipercayai menyebabkan kerugian lebih RM300 juta kepada dana awam.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira 6 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.