Akmal tegur exco Terengganu isu harga minyak

Akmal tegur exco Terengganu isu harga minyak

Ketua pemuda Umno itu mencabar Azman Ibrahim dari PAS mengemukakan bukti pengeluaran minyak negara mencukupi tanpa perlu bergantung kepada import pasaran antarabangsa.

akmal saleh n azman ibrahim
Dr Akmal Saleh minta Azman Ibrahim berkongsi maklumat berkait pengeluaran minyak negara yang didakwa mencukupi untuk bekalan Malaysia.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh membidas kenyataan Exco Terengganu Azman Ibrahim yang mendakwa harga minyak negara tidak sepatutnya terkesan dengan sekatan di Selat Hormuz.

Akmal berkata faktor pengeluaran dalam negara yang tidak mencukupi memaksa Malaysia bergantung kepada import meskipun laluan fizikal bekalan minyak Malaysia mungkin tidak melalui selat strategik tersebut.

“Jadi kita perlu import minyak dari luar, maka disebabkan itu kenaikan harga minyak dunia akan mempengaruhi harga minyak di negara kita,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Azman yang memegang portfolio pertanian, industri asas tani dan pembangunan desa Terengganu dilaporkan mempertahankan pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa harga minyak tidak sepatutnya naik memandangkan Malaysia mempunyai pengeluaran sendiri.

Menurut Azman, di perairan negeri itu misalnya ada kira-kira 120 buah pelantar minyak yang sedang beroperasi dan minyak itu akan disalur ke Loji Penapisan Minyak Petronas Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki.

Akmal turut mencabar Azman mengemukakan data sekiranya mempunyai bukti bahawa pengeluaran minyak negara sebenarnya mencukupi untuk kegunaan rakyat tanpa perlu bergantung kepada pasaran antarabangsa.

“Ke YB (Azman) ada fakta yang lain? Mana tahu YB ada fakta pengeluaran minyak kita lebih pula, boleh kongsi dengan kami semua dan kita akan lawan Petronas sebab bagi fakta yang salah pada rakyat Malaysia.

“Benda betul kita wajib pertahankan, yang salah kita perlu perbetulkan. Mohon YB jawab ya,” katanya.

Kelmarin, Hadi mempersoalkan kaitan antara kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz.

Ahli Parlimen Marang itu turut berhujah Malaysia tidak sepatutnya terkesan secara langsung memandangkan negara mempunyai sumber minyak dan gas sendiri serta jaringan kerjasama dengan negara pengeluar lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.