Pesawah ancam henti tanam padi musim ini jika tiada subsidi diesel

Pesawah ancam henti tanam padi musim ini jika tiada subsidi diesel

PeSAWAH berkata kenaikan harga diesel sejak sebulan lalu telah menyebabkan kos pembajakan dan penuaian meningkat mendadak.

Pesawah berhimpun menggesa kerajaan memasukkan sektor tanaman padi dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi meringankan beban kos operasi. (Gambar PeSAWAH)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memberi amaran pesawah mungkin menghentikan operasi penanaman padi musim ini sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan segera menangani kenaikan kos diesel, termasuk memasukkan sektor itu dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pengerusinya Abdul Rashid Yob berkata kenaikan harga diesel sejak sebulan lalu telah menyebabkan kos pembajakan dan penuaian meningkat mendadak, sekali gus menjejaskan kemampuan pesawah untuk meneruskan operasi di sawah.

Menurutnya, kenaikan kos itu menjejaskan aktiviti utama penanaman padi termasuk pembajakan dan penuaian, yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel.

Beliau berkata jika harga diesel terus tinggi tanpa jaminan kestabilan, ramai pesawah tidak lagi mampu menampung kos perkhidmatan serta input pertanian.

“Jika tiada tindakan segera, kami tiada pilihan selain menghentikan penanaman musim ini.

“Ramai pesawah telah mengusahakan sawah 15 hingga 30 tahun tetapi kos terlalu tinggi memaksa mereka mencari sumber pendapatan lain,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan di Langgar, Kedah.

Rashid memberi amaran keadaan itu akan menyebabkan risiko krisis makanan terutama padi.

Beliau menjelaskan kenaikan harga diesel pada 2024 sudah memberi kesan besar, namun keadaan kini lebih membimbangkan apabila kos pembajakan dan penuaian meningkat antara 35 hingga 52%.

“Jika dicampur dengan kos baja dan racun, keseluruhan beban kos boleh mencecah sehingga 65%,” katanya yang turut melahirkan rasa kecewa apabila sektor penanaman padi masih tidak disenaraikan dalam SKDS.

“Pesawah dan pengusaha jentera terpaksa membeli diesel pada harga pasaran sekitar RM6.72 seliter.

“Keseluruhan rantaian penanaman padi menggunakan diesel – daripada traktor, jentera menuai hingga pam air. Tetapi kami masih terpinggir daripada skim subsidi ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa campur tangan segera kerajaan, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan supaya sektor padi dimasukkan dalam SKDS atau diwujudkan mekanisme subsidi khusus.

Mengulas kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 26 Mac lalu mengenai insentif tambahan, Rashid berkata kadar diumumkan tidak lagi relevan dengan kos sebenar di lapangan.

“Insentif pembajakan RM60 sehektar sedangkan kos sebenar sekitar RM450, manakala penuaian RM50 berbanding lebih RM600.

“Jurangnya terlalu besar dan tidak realistik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.