
Presiden PDAM, Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata pihaknya bersedia melaksanakan mekanisme itu jika diputuskan kerajaan kerana sistem asasnya dilihat sudah tersedia susulan pengalaman pelaksanaan subsidi petrol sebelum ini.
“Secara praktikal, rasanya sama seperti petrol dan tiada masalah besar untuk dilaksanakan.
“Jika dibuat kepada diesel, saya rasa tidak memerlukan masa yang lama kerana sistem asas telah tersedia,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan yang kerajaan sedang menilai kemungkinan memperluaskan penggunaan MyKad bagi pemberian subsidi diesel bersasar susulan kejayaan skim Budi Madani RON95 (BUDI95).
Khairul berkata dari sudut operasi stesen minyak, penyesuaian mungkin diperlukan, namun ia dijangka minimum kerana sebahagian besar sistem telah dinaik taraf lebih awal.
Beliau turut berpandangan penggunaan MyKad bagi subsidi diesel berpotensi mengurangkan ketirisan, sama seperti yang dilihat dalam pelaksanaan subsidi petrol.
Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T Saravanan pula berkata cadangan itu wajar untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan benar-benar layak.
Namun, beliau menegaskan aspek pelaksanaan tidak boleh dipandang ringan agar pengguna tidak berdepan kesulitan di stesen minyak.
“Sistem perlu jelas, mudah digunakan dan tidak menyebabkan kesesakan atau kelewatan di stesen minyak.
“Kerajaan juga perlu mengambil kira situasi tertentu seperti penggunaan bersama dalam keluarga supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang sah,” katanya.