
MoF berkata syarikat peruncit minyak diarah memperketat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi di bawah program itu.
Arahan itu susulan beberapa aduan berhubung dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi BUDI95.
“MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95.
“MoF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MoF, penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa sah adalah kesalahan serius di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Katanya, kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
MoF turut mengarahkan syarikat peruncit minyak menyiasat transaksi yang melanggar SOP, mengambil tindakan terhadap stesen minyak terlibat, serta memperkukuh pemantauan bagi memastikan pematuhan berterusan.
Katanya, langkah pembetulan termasuk latihan semula kakitangan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran dan pampasan bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.
Syarikat peruncit minyak juga diarahkan menghubungi pemegang MyKad yang terkesan.
Dalam masa sama, penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing dan membuat laporan polis sekiranya mengesan transaksi tanpa kebenaran.