
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ariffaizal Mohd Nor Ariffin, 46, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dan memerintahkannya dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Ariffaizal didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi satu hantaran di Facebook pada 6 April lalu.
Hantaran itu kemudiannya dilihat di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya kira-kira 5 petang 7 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Fuad berkata, kesalahan dilakukan tertuduh boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila gambar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dimuat naik bersama kenyataan tidak benar sehingga menyebabkan orang ramai menyangka ia datang daripada perdana menteri sendiri.
“Selepas ini lebih berhati-hati guna media sosial kerana setiap hantaran yang dimuat naik boleh dilihat ribuan pengikut sebelum dikongsi sehingga menjadi tular. Jangan kongsi perkara seperti ini lagi, sebaliknya lebih baik berhenti apabila ia sampai kepada kita di media sosial, sebab dosa dapat, hukuman pun dapat.”
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala Ariffaizal diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.
Terdahulu, tertuduh merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan menghidap penyakit gout, selain perlu menanggung isteri, bapa uzur berusia 80 tahun serta sembilan anak masih belajar.