Warga China buat gangguan seksual dalam tren, cabul penumpang direman

Warga China buat gangguan seksual dalam tren, cabul penumpang direman

Suspek direman sehingga 24 April untuk siasatan, kata polis.

cabul di lrt
Gambar tular suspek yang didakwa melakukan gangguan seksual dalam tren LRT Laluan Kelana Jaya.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga China ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes cabul melibatkan seorang wanita di kawasan kaki lima Stesen MRT Kuchai Lama, kelmarin.

Ketua Polis Brickfields, Hoo Chang Hook, berkata polis sebelum itu menerima laporan daripada pengadu pada 9.22 malam yang mendakwa didatangi dari belakang oleh lelaki tidak dikenali lalu memeluknya.

Katanya, suspek itu bagaimanapun berjaya ditahan pada hari sama sebelum direman sehingga 24 April ini untuk siasatan.

“Insiden tersebut dilaporkan berlaku di kaki lima kawasan Stesen MRT Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

“Pengadu berumur 22 tahun merupakan terapis kecantikan di Sunway Velocity, Kuala Lumpur. Suspek yang merupakan warga China berusia 20 tahun dan tidak bekerja telah ditahan dan kini direman,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu atas kesalahan cabul serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) sebelum itu memaklumkan suspek turut didakwa membuat gangguan seksual dalam tren terhadap seorang penumpang.

Menurutnya, suspek ditahan pasukan polis bantuan Prasarana susulan laporan dibuat saksi pada 8 April lalu.

“Suspek didakwa membuat gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita di dalam tren Laluan Kelana Jaya.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai terbabit satu lagi kes gangguan seksual di Stesen Kuchai, Laluan Putrajaya. Suspek dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.