
Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada kehabisan stok diesel ketika proses pengisian sedang berlangsung.
“Dalam insiden berkenaan, meter pam didapati terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis.
“Hasil siasatan lanjut mendapati stesen minyak tersebut tidak dilengkapi dengan sistem pengesan isipadu automatik atau ciri ‘automatic cut-off’ apabila stok kehabisan, sebaliknya bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran rakaman videonya yang tidak berpuas hati dengan situasi yang berlaku sewaktu mengisi minyak diesel di sebuah stesen minyak.
Fuziah berkata, jumlah sebenar diesel diisi adalah RM232.07 dan pihak stesen telah memulangkan bayaran penuh kepada pelanggan terlibat pada 9 April, yang kemudiannya bersetuju dengan penyelesaian tersebut.
Tambahnya lagi, pemeriksaan teknikal turut mendapati semua pam minyak masih dalam tempoh tentusah yang sah, manakala ujian menggunakan sukat isipadu cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan berada dalam had selisih dibenarkan.
Selain itu, semakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati lesen barang kawalan berjadual (CSA) dan lesen minyak PDA stesen berkenaan sah dan masih berkuat kuasa.
Namun, stesen terbabit telah diberikan amaran keras supaya meningkatkan pemantauan operasi dan memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan.
“KPDN ingin menegaskan bahawa kejadian ini adalah bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil dan terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan.