
Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata terdapat peningkatan permintaan di beberapa lokasi yang menyebabkan gangguan bekalan sementara di segelintir stesen minyak.
“Kerajaan melalui KPDN bersama pihak industri sedang memantau situasi ini secara rapi dan langkah pemulihan bekalan sedang dilaksanakan dengan segera.
“Saya ingin menegaskan bahawa kedudukan bekalan bahan api negara masih stabil dan mencukupi. Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya tidak panik dan meneruskan pembelian seperti biasa,” katanya dalam catatan di Facebook.
Fuziah berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
Shell Malaysia dilaporkan mengalami gangguan di beberapa stesen di Semenanjung disebabkan kelewatan penghantaran RON95 dan diesel.
Pada Khamis, syarikat itu menyatakan berlaku lonjakan permintaan sekali gus menyebabkan kekurangan bahan api di beberapa stesen, namun pihaknya sedang berusaha memulihkan bekalan bahan api dalam rangkaian runcitnya.
Harga subsidi RON95 kekal pada RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95, meskipun terdapat lonjakan harga minyak kesan perang Iran.