
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata kejadian itu dikesan pegawai penguat kuasa ketika menjalankan pemeriksaan statik di sebuah stesen minyak kira-kira 10 malam.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak, resit pembelian serta rakaman percakapan pekerja stesen minyak. Hasil siasatan awal mengesahkan transaksi tersebut melibatkan petrol RON95,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, KPDN Johor menyita sebuah kenderaan, rakaman CCTV, salinan resit pembelian serta dokumen berkaitan, selain menahan seorang lelaki warga asing berumur lingkungan 50-an yang memandu kenderaan terbabit bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) atas kesalahan membeli barang kawalan petrol RON95 menggunakan kenderaan berpendaftaran asing.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan hingga RM2 juta dan meningkat hingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
KPDN Johor menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan, khususnya petrol RON95, bagi memastikan subsidi kerajaan dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan bahan api melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019 8488000, portal e-Aduan, talian 1 800 886 800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.