
Ketua Pengarah Protect & Save the Children, Amnani Abdul Kadir, berkata kes itu tidak wajar dilihat sebagai insiden terpencil, sebaliknya menunjukkan kelompangan besar dalam pengawasan, penguatkuasaan dan akauntabiliti pihak diamanahkan menjaga kanak-kanak.
Beliau berkata beberapa kes lampau turut memperlihatkan persamaan sama terutama dalam aspek ketiadaan pencegahan dan campur tangan lebih awal walaupun ada risiko terhadap keselamatan kanak-kanak.
“Perlindungan kanak-kanak tidak boleh terus bersifat reaktif,” katanya kepada FMT sambil menegaskan keperluan terhadap pendaftaran wajib, audit berkala, pemeriksaan mengejut dan pemantauan berterusan.
Khamis lalu, seorang penjaga pusat jagaan di Batu Caves mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas 15 pertuduhan membabitkan kesalahan amang seksual dan seks luar tabii terhadap kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun.
Bagaimanapun, pemilik pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sama membabitkan kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun.
Amnani berkata kesan gangguan seksual terhadap kanak-kanak bukan sahaja menjejaskan keselamatan fizikal, malah merosakkan asas rasa percaya mereka terhadap orang dewasa dan persekitaran yang sepatutnya melindungi mereka.
Menurutnya, kesan itu boleh berlarutan hingga dewasa dalam bentuk rasa malu, kebimbangan, kemurungan dan kesukaran membina hubungan yang sihat.
“Mangsa lelaki sering berdepan beban lebih berat kerana stigma sosial, norma maskuliniti yang kaku dan ketakutan untuk tidak dipercayai menyebabkan ramai memilih berdiam diri untuk tempoh lama,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Nurul Izzati Asyikin Zulkifly berkata pelaksanaan undang-undang yang tidak tegas boleh menyebabkan pengusaha premis mengambil ringan soal pematuhan.
Beliau berkata keadaan itu juga menyukarkan pemantauan apabila maklumat premis tidak direkodkan dengan baik dalam pangkalan data pihak berkuasa.
Menurutnya, premis yang mematuhi syarat lazimnya mewajibkan kakitangan menjalani latihan asuhan bertauliah, namun pusat mengabaikan standard sedemikian berisiko mengambil jalan pintas dengan menggaji pekerja tidak kompeten demi menjimatkan kos.
“Ini mewujudkan persekitaran yang tidak selamat dan mendedahkan kanak-kanak kepada risiko trauma, termasuk gangguan seksual,” katanya yang mencadangkan pihak berkuasa meningkatkan kekerapan pemeriksaan berkala dan mengejut.
“Komuniti setempat perlu lebih peka terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di premis jagaan di kawasan masing-masing.