
Ketua Polis Jasin, Lee Robert, berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 12 April lalu kira-kira 7.30 malam di kawasan susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Bemban arah selatan.
Beliau berkata video tular itu kemudiannya dikesan polis petang semalam sebelum tindakan lanjut diambil.
“Perbuatan pemandu itu sangat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan dan mengganggu tumpuan pemandu.
“Ia juga membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.
Lee berkata, polis memandang serius kejadian itu kerana ia membabitkan kenderaan awam yang membawa penumpang dan memerlukan tahap disiplin serta tanggungjawab tinggi daripada pemandu.
Katanya, polis meminta kerjasama pemandu bas ekspres dan wanita terbabit untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Jasin bagi membantu siasatan.
“Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kita juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Terdahulu, tular video dipercayai dirakam penumpang bas memaparkan seorang wanita duduk di atas riba pemandu terbabit ketika bas berkenaan sedang bergerak.
Wanita tersebut juga dilihat mengendalikan stereng kenderaan yang sedang bergerak di lebuh raya.
Syarikat bas terbabit, Sri Maju Group kemudiannya memaklumkan ia telah mengambil tindakan dengan memecat pemandu berkenaan.