Harga diesel turun 75 sen seliter mulai esok

Harga diesel turun 75 sen seliter mulai esok

Harga seliter diesel akan ditetapkan pada RM5.97, RON97 RM5.10 dan RON95 tanpa subsidi pada RM4.02.

fuel prices
PETALING JAYA:
Harga diesel di Semenanjung turun 75 sen mulai esok, penurunan pertama sejak beberapa minggu lalu yang menyaksikan kenaikan bahan bakar itu akibat krisis di Asia Barat.

Menurut Kementerian Kewangan, harga diesel turun kepada RM5.97 seliter berbanding RM6.72 sebelum ini.

Harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi turut turun, masing-masing 25 sen.

Pelarasan itu menyaksikan harga RON97 mulai esok menjadi RM5.10 manakala RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM4.02.

Harga petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah pada RM2.15 seliter.

Bagi petrol bersubsidi di bawah sistem kawalan petrol bersubsidi (SKPS), harganya kekal RM2.05 seliter.

Sementara itu, diesel bersubsidi di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) juga kekal pada RM2.15 seliter.

Harga-harga ini berkuat kuasa sehingga 22 April.

Kementerian Kewangan menyatakan kerajaan akan terus berusaha memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.

Semalam, kerajaan umum kenaikan bantuan tunai bagi pengguna diesel di bawah dua skim Budi Madani kepada RM400 bagi bulan April, meningkat daripada RM300 pada bulan Mac.

Tambahan RM100 itu akan disalurkan pada 21 April.

Secara keseluruhan, kerajaan membelanjakan sekitar RM7 bilion sebulan untuk subsidi bahan api berdasarkan harga minyak semasa.

Bil subsidi RON95 telah meningkat daripada RM300 juta sebulan sebelum konflik di Timur Tengah kepada kira-kira RM4 bilion sebulan.

Subsidi diesel pula meningkat daripada RM400 juta sebulan kepada sekitar RM3 bilion sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.