
Menurut Fahmi, laporan itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) atau Jemaah Menteri itu dalam minggu yang akan datang.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah meminta kementerian terbabit untuk meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme seperti yang telah dilaksana bagi Budi Madani,” katanya dalam sidang media mingguan.
Fahmi sebelum ini berkata Putrajaya sedang mengkaji mekanisme untuk menyalurkan subsidi termasuk diesel menggunakan sistem MyKasih yang digabungkan dengan MyKad.

Katanya, Kementerian Kewangan akan memperhalusi mekanisme tersebut sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.
Dalam perkembangan lain, menteri komunikasi itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini telah mengenal pasti 441 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global yang tular di media sosial sejak 29 Mac lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, 54 kertas siasatan telah dibuka dengan 12 daripadanya sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“42 lagi kertas siasatan masih berjalan. Terdapat grafik palsu menggunakan format Sinar Harian berkaitan pengumuman harga minyak telah disebar,” katanya sambil menegaskan harga bahan api hanya akan diumumkan secara rasmi setiap Rabu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata langkah meningkatkan kadar adunan biodiesel negara daripada B10 kepada B15 tidak akan melibatkan kos tambahan kepada kerajaan kerana ia akan menggunakan infrastruktur pengadunan sedia ada.
Katanya, Jemaan Menteri telah dimaklumkan Menteri Peladangan dan Komoditi Noraini Ahmad bahawa ad infrastruktur sedia ada bagi biodiesel B20 di seluruh negeri Sarawak kecuali Bintulu, Labuan dan Langkawi ketika ini.
“Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan melakukan satu lawatan ke premis untuk melihat bahan asas bagi tujuan pengadunan biodiesel pada hari Sabtu ini,” katanya.