
Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata cadangan bekas ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard boleh membawa implikasi politik lebih rumit dan ketegangan dalam PN.
Menurutnya, ketegangan itu boleh berlaku kerana rasa tidak puas hati Bersatu jika Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang dipecat parti itu kerana mencabar kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin dipilih semula.
Untuk rekod, Hamzah mengisytiharkan Muhyiddin sebagai musuh nombor satunya, sehari selepas dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu.
“Jika tidak diurus dengan baik, keadaan itu boleh memburukkan lagi polemik dalaman dan berpotensi membawa kepada perpecahan dalam PN,” katanya kepada FMT.
Chegubard menerusi Facebooknya baru-baru ini meminta Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan pemilihan ketua pembangkang baharu kepada semua wakil rakyat dari blok itu.
“Siapa dipilih majoriti oleh Ahli Parlimen pembangkang maka layak jadi ketua,” katanya yang dipecat Bersatu, bulan lalu.
Ahad lalu, Samsuri mengesahkan Hamzah bukan lagi ketua pembangkang selepas meletak jawatan disandangnya selepas PRU15.
Sebelum ini, PN memutuskan Ahli Parlimen PAS akan dilantik bagi mengisi kekosongan itu sebelum penghujung Mac lalu namun tiada pengumuman berkait dengannya.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata pelantikan itu perlu dibuat segera bagi mengelak spekulasi berpanjangan yang boleh menjejaskan imej gabungan PN.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut senada risiko polemik bakal melanda gabungan itu jika pengganti Hamzah dipilih secara kaedah pemilihan oleh wakil rakyat.
“Ia akan memperlihatkan perpecahan secara terbuka.
“Namun, itulah realiti demokrasi,” katanya sambil menambah keadaan lebih buruk jika Hamzah dikekalkan, mengambil kira senario beliau menyertai PAS.