Kerajaan Selangor umum pakej ekonomi lebih RM130 juta hadapi krisis global

Kerajaan Selangor umum pakej ekonomi lebih RM130 juta hadapi krisis global

Sebanyak RM50 juta diperuntuk untuk menambah stok makanan negeri, manakala RM30 juta disalurkan bagi program baucar RM100 sebulan kepada 50,000 penerima.

amirudin
Pakej diumumkan Amirudin Shari bertujuan memperkukuh keselamatan makanan negeri, mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi dan menyalurkan bantuan bersasar kepada golongan memerlukan.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor mengumumkan pakej ekonomi bernilai RM130.42 juta susulan kesan ekonomi daripada konflik berterusan di Timur Tengah.

Pakej diumumkan Menteri Besar Amirudin Shari itu bertujuan memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengawal tekanan inflasi.

Selain itu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta menyediakan bantuan bersasar kepada golongan memerlukan.

Bagi menyokong golongan petani dan nelayan, sebanyak RM25 juta akan diperuntukkan untuk menampung kenaikan kos bahan api serta input pertanian.

“Seramai 18,000 pesawah padi akan menerima RM500 bagi setiap hektar tanah untuk setiap musim, manakala 2,000 nelayan akan menerima RM300 sebulan selama enam bulan susulan kenaikan kos diesel,” kata Amirudin pada sidang media.

“Bagi pengusaha akuakultur pula, bantuan sebanyak RM450 sebulan akan disalurkan selama enam bulan bagi membantu mereka menampung kos input pertanian dan mengelakkan kenaikan harga barangan. Sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk tujuan ini bermula Jun.”

Kerajaan negeri juga akan menyalurkan baucar ‘Kita Selangor’ bernilai RM100 setiap bulan selama enam bulan kepada 50,000 rakyat Selangor yang layak.

“Langkah ini bagi memastikan tiada individu terjerumus ke dalam kemiskinan tegar sekiranya mereka terkesan akibat kehilangan pekerjaan atau pendapatan pada tahun ini. Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk inisiatif ini,” katanya.

Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, seramai 50,000 rakyat Selangor akan menerima RM30 sebulan sehingga hujung tahun, yang boleh digunakan untuk perkhidmatan van atas permintaan, bas atau tren.

Kerajaan negeri turut menambah peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan ini, menjadikan jumlah keseluruhan RM10.4 juta diperuntukkan untuk inisiatif pengangkutan awam di bawah bajet negeri 2026.

Sebanyak RM5 juta juga diperuntukkan kepada PKPS untuk menganjurkan jualan Rahmah setiap bulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor, yang dijangka memberi manfaat kepada 168,000 isi rumah.

Amirudin berkata, jumlah itu adalah tambahan RM5 juta kepada RM10 juta yang telah diperuntukkan bagi inisiatif sama tahun ini.

Selain itu, sarapan percuma akan disediakan di semua 873 sekolah kerajaan di negeri ini, dengan pihak berkuasa tempatan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan inisiatif tersebut. Sekolah akan menerima peruntukan bermula Ogos.

Amirudin berkata kesan ekonomi akibat perang Iran sudah mula dirasai dan dijangka tidak akan reda dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, walaupun konflik itu berakhir dalam masa terdekat, sektor yang terjejas seperti minyak dan gas, baja, sulfur dan helium dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk pulih sepenuhnya.

“Sebab itu kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sebaliknya perlu bersedia menghadapi situasi ini untuk jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.