
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pelantikan Amirudin dibuat bersama Saifuddin Nasution Ismail, yang kekal memegang peranan sebagai pengarah pilihan raya bersama.
“Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun.
“Tumpuan ini sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan mengumumkan keputusan Biro Politik PKR itu.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dilantik sebagai pengarah pilihan raya selepas pemilihan PKR menyaksikannya menewaskan penyandang Rafizi Ramli bagi kerusi timbalan presiden.
Rafizi baru-baru ini umum keluar PKR dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
PRN Sabah menjadi tugas pertama Nurul Izzah selepas dilantik ke jawatan itu. Namun parti berkenaan yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) hanya menang satu kerusi iaitu di Melalap.
Sementara itu, Fuziah berkata Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam turut bersetuju melantik Ketua PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin sebagai pengarah bilik gerakan utama pilihan raya atau ‘war room’, dibantu Ruji Ubi.
“Pelantikan ini sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya PKR terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat,” katanya.