Malaysia cadang guna sistem ambil pekerja asing pengasas Bestinet

Malaysia cadang guna sistem ambil pekerja asing pengasas Bestinet

Sumber berkata bekas Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah mempersoalkan cadangan itu atas pelbagai kebimbangan, termasuk pemberian lebih kuasa kepada Bestinet.

construction
Sistem pengambilan pekerja asing baharu dipasarkan untuk membenarkan syarikat mengambil pekerja secara terus, bukannya menggunakan orang tengah yang mengenakan bayaran berlebihan.
KUALA LUMPUR:
Malaysia merancang untuk mengguna pakai sistem pengambilan pekerja asing baharu dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd, syarikat diasaskan ahli perniagaan Aminul Islam, menurut enam individu yang mengetahui perkara itu.

Perisian itu dipasarkan sebagai membolehkan syarikat mengambil pekerja secara terus, tanpa melalui orang tengah yang mengenakan bayaran tinggi, kata sumber tersebut yang enggan dikenali kerana maklumat itu bersifat sulit.

Sistem itu yang dinamakan Universal Recruitment Advanced Platform (Turap) akan mempunyai portal digital di mana majikan boleh mendaftar dan mencari pekerja, menurut mereka.

Menteri Sumber Manusia R Ramanan menyebut tentang sistem baharu itu dalam satu temu bual dengan The Star pada awal Februari, namun tidak menyatakan bahawa Bestinet akan mengendalikannya.

Pada Januari, Bloomberg menerbitkan satu siasatan mengenai isu rasuah berleluasa dalam pengambilan pekerja migran dari Bangladesh di Malaysia. Artikel itu turut menyebut peranan Aminul yang juga dikenali sebagai Amin dan Bestinet dalam proses tersebut.

Firma guaman Lui & Bhullar yang mewakili Aminul berkata beliau enggan memberi komen. Aminul sebelum ini menafikan dakwaan bahawa pekerja migran dikenakan yuran pengambilan yang tinggi dan menyatakan beliau telah memberi tumpuan untuk membantu mereka.

Jurucakap Ramanan, Pejabat Perdana Menteri dan Bestinet tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.

Bestinet sudah pun mengendalikan sistem perisian dikenali sebagai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), yang digunakan Malaysia untuk mengurus sebahagian proses pengambilan pekerja asing, khususnya dari Bangladesh.

Sistem itu merangkumi pelbagai modul seperti pemeriksaan kesihatan pekerja dan insurans, serta turut melibatkan ejen pengambilan.

Dalam temu bual dengan Bloomberg pada Julai, Aminul menyamakan sistem itu seperti lebuh raya dan berkata beliau tidak bertanggungjawab terhadap pihak yang menggunakannya, merujuk kepada pegawai yang meluluskan permohonan palsu atau ejen yang mengenakan bayaran berlebihan kepada pekerja.

Pada 2024, polis Bangladesh meminta Malaysia menghentikan penggunaan FWCMS dan mengekstradisi Aminul, dengan dakwaan beliau memainkan peranan penting dalam sistem yang ‘memeras pekerja secara penipuan’.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pada Oktober bahawa polis Malaysia sedang berhubung dengan rakan sejawat di Bangladesh. Aminul belum diekstradisi atau didakwa.

Ramanan berkata Malaysia berharap untuk mengguna pakai sistem baharu itu menjelang pertengahan tahun ini. Sumber berkata proses masih di peringkat awal dan memerlukan persetujuan Kementerian Dalam Negeri sebelum diluluskan Kabinet.

Ramanan dilantik sebagai menteri sumber manusia dalam rombakan Kabinet pada Disember. Menteri sebelumnya, Steven Sim, dilaporkan mempersoalkan cadangan itu kerana beberapa kebimbangan, termasuk memberi lebih kuasa kepada Aminul dan Bestinet, kata tiga sumber.

Wakil Steven Sim juga tidak memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Sumber berkata beberapa pegawai kerajaan dan bekas pegawai kerajaan telah menyuarakan keraguan terhadap penggunaan sistem Bestinet, khususnya kerana bimbang ia memberi kontrak bernilai tinggi dan pengaruh lebih besar kepada Aminul dalam pengambilan pekerja asing Malaysia.

Di bawah cadangan Aminul, Bestinet akan menerima kontrak 12 tahun yang membenarkannya mengenakan caj USD1,000 bagi setiap permohonan pekerja asing, serta yuran bersamaan satu bulan gaji setiap pekerja, menurut sumber.

Malaysia mempunyai 2.1 juta pekerja asing berkemahiran rendah berdaftar setakat Ogos, menurut data kerajaan. Butiran masih dibincangkan dan boleh berubah, kata sumber.

Tiga pegawai yang dimaklumkan mengenai perkara itu berkata orang tengah mungkin masih memainkan peranan di negara sumber kerana sukar untuk Malaysia mengawal apa yang berlaku di sana.

Sesetengah pegawai juga menyatakan bahawa pengambilan terus mungkin sukar bagi syarikat besar yang ingin membawa masuk ribuan pekerja, serta bimbang penghapusan ejen berlesen boleh menyebabkan aktiviti pengambilan bergerak ke bawah tanah dan lebih sukar dikawal.

Dalam temu bual dengan Bloomberg pada Julai, Aminul bercakap tentang sistem pengambilan terus baharu yang dibangunkan Bestinet, yang menurutnya akan menghapuskan orang tengah dan mengurangkan kos pengambilan.

Beliau menunjukkan satu pembentangan sistem baharu itu, yang katanya boleh menjadikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim calon Hadiah Nobel Keamanan 2027.

Aminul enggan mengulas sama ada Anwar telah melihatnya, tetapi berkata ‘ini adalah cadangan yang kami telah buat’.

“Sasaran kami, dalam tempoh 36 bulan dari sekarang, adalah Hadiah Nobel,” kata Aminul. “Ini sasaran kami. Dan kami akan capai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.