
Malah, katanya, semua pihak sedia maklum bahawa kerusi akan dirundingkan melalui perbincangan.
“Adalah diharap menyebut kerusi yang ingin ditandingi semasa PRU16 tidak dianggap terlalu sensitif,” katanya kepada FMT.
Khalid mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail yang meminta Amanah membawa cadangannya ke mesyuarat majlis presiden PH, dan bukan melalui media.
Ia susulan kenyataan Khalid bahawa Amanah menyasarkan Parlimen Putrajaya, serta mengintai Parlimen Labuan dan Parlimen Titiwangsa.
Khalid menjelaskan kenyataan itu sekadar menjawab pertanyaan pemberita, yang ingin tahu kerusi yang ingin ditandingi Amanah Wilayah Persekutuan pada PRU akan datang.
“Saya jawab ianya bergantung kepada keadaan semasa PRU16, sama ada dua penjuru atau tiga penjuru,” katanya.
Khalid berkata hasrat untuk bertanding di Putrajaya dan Labuan yang diduduki Perikatan Nasional tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi, memandangkan dasar penyandang mempertahankan kerusi tidak terpakai di situ.
“Kerusi penyandang yang ada disebut hanya kerusi Titiwangsa, tetapi itu pun dijelaskan bahawa hanya sekiranya Umno-BN ingin bertanding secara bersendirian,” katanya.
Khalid menambah, sidang media di mana kenyataan itu dibuat bukan untuk mengisytiharkan tuntutan Amanah Wilayah Persekutuan berhubung kerusi yang ingin ditandingi.
“Apabila ditanya wartawan mengenainya maka ianya dijawab secara terus-terang,” katanya.