
Presiden Zahid Hamidi berkata Umno sedang mempertimbangkan perkara tersebut, dengan turut mengambil kira pertindihan kerusi.
“Saya telah menyatakan dan kita akan umumkan,” katanya, lapor Sinar Harian, selepas merasmikan persidangan Umno cawangan di Ayer Keroh, Melaka.
Terdahulu pada perkembangan sama, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dilapor berkata gabungan itu wajib mempertahankan rekod kemenangan 3/4 di Melaka pada PRN akan datang.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan menangguhkan pilihan raya, Zahid secara berseloroh memaklumkan beliau ‘tidak mendengar’ perkara tersebut.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, dilaporkan akan membawa usul menangguhkan PRN ke mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno, berikutan krisis di Asia Barat.
Pada Selasa, Berita Harian memetik Ahmad sebagai berkata cadangan itu adalah pendapat peribadi beliau.