
Zahid berkata BN wajib mempertahankan kemenangan di 21 daripada 28 kerusi DUN di Melaka demi kesinambungan pentadbiran negeri, lapor Bernama.
“Perubahan dan kejayaan ini harus dipertahankan,” tegas Zahid kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Umno cawangan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh, Melaka.
Zahid berkata BN mempertaruhkan prestasi pentadbiran Ab Rauf Yusoh bagi menarik sokongan kepada calon-calon BN pada PRN Melaka kelak, dijangka diadakan pada tahun ini.
Justeru, beliau mahu jentera parti menyantuni semua lapisan masyarakat, merangkumi 63% pengundi Melayu dan 37% pengundi bukan Melayu.
“Kita mesti memperlihatkan prestasi dari segi parti politik untuk menggamit dukungan daripada pengundi-pengundi dari pelbagai kaum,” katanya.
Pada bulan lalu, Rauf berkata PRN Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang, mengambil kira DUN Melaka dijangka tamat penggal pada 30 Dis.
Dalam pada itu, belum ada keputusan kerjasama dicapai antara BN dan PH.