Pemimpin PN Johor, Melaka tolak tangguh PRN, kata Malaysia tak darurat

Pemimpin PN Johor, Melaka tolak tangguh PRN, kata Malaysia tak darurat

PAS Johor dan Bersatu Melaka menyifatkan gesaan menangguhkan pilihan raya negeri bermotif politik, bukan didorong faktor keselamatan atau krisis dalaman.

Dr Mazri Yahya berkata tiada asas untuk tangguh PRN manakala Hishamuddin Abdul Karim dakwaan gesaan itu mencerminkan kebimbangan pihak tertentu terhadap sentimen semasa rakyat.
PETALING JAYA:
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Melaka menolak cadangan supaya PRN di dua negeri itu ditangguhkan susulan krisis Asia Barat, dengan menegaskan Malaysia tidak berada dalam keadaan darurat atau peperangan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mazri Yahya berkata tiada asas kukuh untuk menangguhkan pilihan raya kerana sistem negara masih berfungsi seperti biasa.

Katanya, proses demokrasi tidak boleh ditentukan berdasarkan kehendak politik mana-mana pihak, sebaliknya mesti berpaksikan prinsip dan keluhuran sistem demokrasi.

“Pilihan raya sama ada di peringkat negeri atau negara tidak boleh bergantung kepada ‘whim and fancy’ mana-mana parti politik. Sistem demokrasi mesti berasaskan prinsip, bukan kepentingan jangka pendek.

“Negara berfungsi seperti biasa dan Malaysia tidak berada dalam keadaan darurat,” katanya kepada FMT sambil menegaskan sistem negara berjalan seperti biasa.

Mazri berkata, krisis global juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan demokrasi kerana ia tidak memberi kesan langsung kepada kestabilan atau keselamatan negara.

Katanya, Malaysia bukan negara berperang, malah ada negara lain tetap meneruskan pilihan raya walaupun berdepan konflik dan tekanan global.

Beliau turut mengingatkan Umno sebelum ini pernah mendesak PRN dipercepatkan, termasuk di Melaka dan Johor, ketika parti itu merasakan mempunyai kelebihan politik, walaupun ketika itu negara masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim turut berpandangan gesaan supaya PRN ditangguhkan bukan berpunca daripada krisis global semata-mata, sebaliknya mencerminkan kebimbangan pihak tertentu terhadap sentimen semasa rakyat.

Menurutnya, penangguhan hanya akan menimbulkan tanggapan bahawa pemimpin kerajaan sendiri tidak yakin dengan tahap sokongan terhadap mereka.

“Penangguhan hanya akan menimbulkan persepsi bahawa mereka sendiri tidak yakin dengan tahap sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan pada masa ini.

“Sama ada PRN diadakan segera atau ditangguhkan, PN telah bersedia. Namun mandat rakyat tidak wajar ditangguhkan atas pertimbangan politik. Jika BN-PH yakin dengan prestasi mereka, pilihan raya adalah medan terbaik untuk mendapatkan pengesahan sokongan rakyat,” katanya.

Semalam, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad dilaporkan senada menggesa supaya PRN Johor dan Melaka ditangguhkan susulan krisis geopolitik global.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh pada Mac lalu mengesahkan PRN Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang susulan penggal DUN ke-15 yang akan berakhir pada 30 Dis depan

Sementara itu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi pada Mei tahun lalu menegaskan PRN Johor tidak akan dibuat lebih awal, kerana pentadbiran kerajaan negeri itu hanya akan tamat pada April 2027.

Bagaimanapun, ada khabar angin mendakwa PRN Johor akan diadakan serentak dengan Melaka dan mungkin PRU16.

Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menolak kemungkinan PRU diadakan dalam masa terdekat dengan fokus kepada usaha menstabilkan negara susulan krisis global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.