Cadangan darurat cetus kritikan, Khoo tegaskan terbuka pilihan lain

Cadangan darurat cetus kritikan, Khoo tegaskan terbuka pilihan lain

Ahli Parlimen Kota Melaka berkata cadangan itu antara beberapa pendekatan, gesa pertimbang situasi global dan kesan kepada rakyat.

Khoo Poay Tiong berkata isu pokok yang perlu dijawab ketika ini ialah sama ada masa sekarang benar-benar sesuai untuk mengadakan pilihan raya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata cadangan supaya darurat diisytiharkan bagi menangguhkan pilihan raya hanyalah satu daripada beberapa pendekatan yang boleh dipertimbangkan.

Mengulas kritikan ramai terhadap cadangannya itu, wakil rakyat DAP berkenaan berkata perkara terbabit terbuka dibincangkan untuk mencari alternatif lain, termasuk menunggu sehingga keadaan antarabangsa kembali stabil sebelum pilihan raya diadakan.

Khoo berkata isu pokok yang perlu dijawab ketika ini ialah sama ada masa sekarang benar-benar sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Menurutnya, dunia kini sedang berdepan krisis geopolitik serius yang menjejaskan bekalan tenaga dan bahan api, selain berpotensi menyebabkan kenaikan kos makanan dalam masa terdekat.

Beliau berkata keadaan itu tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya akan dirasai rakyat dan perniagaan.

“Dalam situasi sebegini, adakah wajar untuk mengadakan pilihan raya negeri, lebih-lebih lagi apabila timbul spekulasi ia mungkin diadakan seawal Jun atau Julai tahun ini.

“Ini akan mengalihkan sumber, masa dan tenaga daripada perkara yang lebih penting.

“Jelas sekali jawapannya adalah tidak kerana ada keutamaan lain yang lebih mendesak,” katanya d Facebook.

Kenyataan Khoo itu menyusul selepas pelbagai pihak mengkritik cadangannya supaya kerajaan Melaka memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytharkan darurat bagi menangguhkan PRN Melaka.

Antaranya Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Dipercayai merujuk kepada Akmal, Khoo menegur pihak tertentu supaya tidak bersikap sombong atau bersyarah kepada orang lain mengenai soal ‘maruah’ selain melihat kepada diri sendiri terlebih dahulu.

“Pepatah Melayu ada mengatakan, meludah ke langit, terkena muka sendiri.

“Sama ada seseorang itu masih memegang jawatan Exco atau tidak, itu bukan isu utama kepada rakyat,” katanya.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh pada Mac lalu mengesahkan PRN Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang susulan penggal DUN ke-15 yang akan berakhir pada 30 Dis depan.

Cadangan untuk menangguhkan PRN Melaka dibuat pemimpin Umno Ahmad Maslan susulan krisis geopolitik global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.