Serah projek air kepada Sabah selari semangat autonomi, kata Umno

Serah projek air kepada Sabah selari semangat autonomi, kata Umno

Setiausaha Umno Sabah Samasuddin Yusop berkata inisiatif itu juga dapat menyelesaikan segera masalah kemudahan air terutama di luar bandar.

Zahid Hamidi pada mesyuarat penyelarasan penyerahan projek bekalan air kepada kerajaan Sabah yang bernilai RM4.06 bilion, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyerahan projek bekalan air kepada kerajaan Sabah yang bernilai RM4.06 bilion selari dengan semangat autonomi serta mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah kemudahan asas itu terutama di luar bandar.

Setiausaha Umno Sabah Samasuddin Yusop berkata penyerahan kuasa itu langkah tepat kerana membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, bersasar dan selari dengan realiti serta keperluan sebenar di lapangan.

Menurutnya, isu bekalan air di Sabah bukan sahaja bersifat teknikal, malah melibatkan cabaran struktur dan faktor geografi yang unik

“Langkah itu juga bertepatan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan kepentingan autonomi Sabah dalam mengurus hal ehwal pembangunan, khususnya berkaitan kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat.

“Umno Sabah merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas pendekatan yang menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek berskala besar dan kritikal seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengumumkan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion di Sabah, diserahkan kepada kerajaan negeri ini dalam usaha mempercepatkan penyelesaian projek berkenaan.

Beliau berkata langkah proaktif dan pendemokrasian kuasa atau desentralisasi itu disifatkan sebagai satu pengubah keadaan untuk menangani isu kelewatan projek, seterusnya memberikan bekalan air lebih stabil kepada rakyat luar bandar negeri ini.

Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu bersetuju sepenuhnya untuk menyerahkan pelaksanaan projek-projek BALB di Sabah terus kepada kerajaan negeri itu.

Zahid juga berkata langkah drastik itu diambil bagi menyelesaikan masalah banyak projek BALB yang terbengkalai dan tertangguh, sebahagiannya sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2016.

Menurutnya, ada projek yang telah 10 tahun tidak dapat dijalankan kerana beberapa kekangan birokrasi, terutama membabitkan kebenaran merancang, jajaran baharu spesifikasi lokasi dan isu pelantikan perunding serta kontraktor, selain masalah tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.