
Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, susulan mesyuarat MKT Umno malam tadi.
“Hishammuddin, Khairy, Syed Hamid bersama 6,252 bekas pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat diterima kembali ke ‘Rumah Bangsa’ oleh MKT Umno malam ini,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Ahli MKT Puad Zarkashi mengesahkan penerimaan Hishammuddin dan Khairy ketika dihubungi FMT.
Pada 6 Mac lalu, Presiden Zahid Hamidi mengumumkan Umno mengundang ahli yang digantung atau dipecat untuk kembali dan memperkukuhkan parti.
Asyraf mengumumkan Hishammuddin dan Khairy menyerahkan permohonan untuk kembali ke Umno pada 16 Mac lalu.
Hishammuddin menegaskan beliau tidak pernah keluar parti meskipun digantung selama tiga tahun, mengatakan beliau akan kembali sekiranya pimpinan Umno menarik balik penggantungan.
Khairy pula berkata beliau sudah lama sebut ingin kembali ke Umno, menyifatkan pengumuman Zahid sebagai perkembangan yang positif dan peluang murni.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun dan memecat keahlian Khairy pada 2023.
Syed Hamid mengumumkan keluar Umno pada 2018, menyertai Bersatu pada tahun sama, dan mengumumkan keputusan bersara daripada politik sekaligus menarik diri daripada Bersatu pada 2022.