
Kementerian Digital berkata beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca berlakunya tunggakan termasuk kekangan sistem teknologi yang memerlukan pemprosesan manual, keterhadapan sumber tenaga kerja, serta peningkatan mendadak jumlah permohonan.
Katanya, situasi ini turut memberi kesan kepada program De Rantau Nomad dan Program Usahawan Teknologi Malaysia (MTEP).
“Rentetan penyelesaian tunggakan tersebut, MDEC kini meneruskan pemprosesan baki permohonan.
“Beberapa langkah interim dilaksanakan termasuk penempatan semula kakitangan, penyusunan semula aliran kerja, pengambilan kakitangan sementara, serta penambahan sumber bersesuaian
bagi meningkatkan kecekapan dan mempercepat tindakan pemprosesan,” katanya dalam kenyataan.
Ia bagi menjawab kebimbangan yang dibangkitkan pihak industri mengenai semakan terkini garis panduan permohonan FKW serta tempoh pemprosesannya.
MDEC juga menyasarkan operasi pemprosesan kembali stabil sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2026.
Bagi mengelakkan isu berulang, MDEC memulakan perolehan platform digital baharu yang akan menyatukan ketiga-tiga program, iaitu FKW, De Rantau Nomad, dan MTEP.
Katanya, platform ini akan mengintegrasikan automasi serta kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan meningkatkan kecekapan penyampaian.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan modul aplikasi FKW dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026, diikuti oleh De Rantau Nomad dan MTEP pada penghujung suku pertama 2027.
“Langkah-langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang cekap serta memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang,” katanya.
Program FKW merupakan inisiatif khusus yang diuruskan oleh MDEC bagi memudahkan pengambilan profesional asing dalam sektor teknologi dan digital.
Pas DE Rantau Nomad pula ialah pas lawatan profesional baharu yang membolehkan nomad digital asing yang layak untuk bekerja dan menetap sementara di Malaysia.
Manakala MTEP ialah pas khas yang direka untuk menarik usahawan teknologi berpengalaman dan pelabur untuk bekerja atau melabur dalam industri teknologi Malaysia.