
Menerusi hantaran di Facebooknya, Khairy menzahirkan penghargaan kepada Presiden Umno Zahid Hamidi serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atas keputusan menerima semula permohonannya sebagai ahli.
Beliau yang juga bekas ketua Pemuda itu menyifatkan keputusan tersebut dibuat dengan ‘penuh hikmah dan keinsafan’ terhadap masa depan perjuangan parti.
“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran. Tempoh di luar parti telah memberi saya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.
“Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan Umno,” katanya.
Khairy berkata beliau juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno.
“Semoga keputusan ini menjadi titik permulaan baharu untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa,” katanya.
Sementara itu, bekas naib presiden Hishammuddin Hussein juga melahirkan rasa syukur selepas penggantungnya sebagai ahli Umno turut ditarik balik.
“Alhamdulillah, MKT menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun.
“Saya akan terus berjuang dan berkhidmat, memikul amanah dengan komitmen dan prinsip. Dulu, Kini, Selamanya,” katanya di Facebook.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memgumumkan parti itu menerima kembali lebih 6,000 bekas pimpinan dan ahli termasuk Khairy, Hishammuddin dan bekas ahli MKT, Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun dan memecat keahlian Khairy pada 2023 kerana melanggar disiplin parti.
Syed Hamid mengumumkan keluar Umno pada 2018, menyertai Bersatu pada tahun sama, dan mengumumkan keputusan bersara daripada politik sekaligus menarik diri daripada Bersatu pada 2022.