
Anwar berkata, beliau terkesan ketika menerima laporan kebakaran di kampung itu yang memusnahkan ratusan buah rumah.
“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini, lapor Bernama.
Dilaporkan sebelum ini, kira-kira 200 rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi di perkampungan atas air itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 pagi.
Sehubungan dengan itu, seramai 35 anggota bomba termasuk dari BBP Sandakan serta Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Dalam pada itu, kerajaan Sabah menggerakkan semua agensi berkaitan untuk turut menyalurkan bantuan segera dan menjaga kebajikan mangsa.
Antara bantuan disalurkan termasuk menyediakan tempat perlindungan sementara, keperluan asas serta makanan, menurut Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan,” katanya menerusi hantaran Facebook.