Gangguan pengangkutan, sistem bagasi KLIA petunjuk kelemahan sistemik, kata PN

Gangguan pengangkutan, sistem bagasi KLIA petunjuk kelemahan sistemik, kata PN

PN gesa Kementerian Pengangkutan beri penjelasan menyeluruh dan dedah punca sebenar masalah melibatkan agensi di bawahnya.

KLIA 2
Kerosakan sistem pengendalian bagasi di KLIA Terminal 1 pada Sabtu lalu menyebabkan kelewatan antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang tiba.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) berpendapat kerosakan sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1 kelmarin tidak boleh dianggap insiden teknikal terpencil, sebaliknya petunjuk kelemahan sistemik lebih mendalam yang memerlukan tindakan segera dan pendekatan menyeluruh.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata sebagai pintu masuk utama negara, kerosakan BHS menimbulkan persoalan serius berhubung tahap kebolehpercayaan, kesiapsiagaan dan mutu pengurusan infrastruktur kritikal pengangkutan awam negara.

Selain kerosakan BHS, katanya, gangguan berulang membabitkan pengangkutan utama di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan (MOT), termasuk LRT Laluan Kelana Jaya Line dan MRT Laluan Putrajaya membawa kesulitan kepada ribuan pengguna.

“Infrastruktur pengangkutan awam merupakan aset kritikal negara yang perlu beroperasi secara konsisten, cekap dan boleh dipercayai, lebih-lebih lagi KLIA yang merupakan hab pengangkutan antarabangsa utama dan pintu masuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan negara.

“Justeru, PN menggesa MOT memberi penjelasan telus dan menyeluruh berhubung masalah yang berlaku melibatkan agensi di bawahnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MOT perlu mendedahkan punca sebenar, termasuk sama ada rejim penyelenggaraan pencegahan mencukupi, kerja naik taraf sistem berjalan lancar atau pelan kontingensi sedia ada benar-benar berkesan dalam menangani gangguan operasi.

Beliau berkata, aspek kebertanggungjawaban juga perlu didedahkan jika wujud kelemahan, kecuaian atau kegagalan pengurusan yang menyumbang kepada gangguan itu.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyiasat kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada petang Sabtu lalu yang menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang.

Katanya, CAAM juga perlu meneliti sama ada hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya.

Takiyuddin berkata, isu membabitkan pelbagai mod pengangkutan awam negara memerlukan pelan pemulihan dan penambahbaikan menyeluruh serta bersepadu.

Menurutnya, MOT perlu mengemukakan garis masa jelas dan munasabah merangkumi tindakan segera, pelan penambahbaikan jangka sederhana serta langkah memperkukuh daya tahan sistem berjangka panjang.

“Langkah segera bagi memulihkan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan ini hendaklah dijadikan keutamaan nasional, bukannya dilihat sebagai isu semasa yang mendapat perhatian sementara sebelum lenyap tanpa penyelesaian beberapa hari selepas itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.