Johari nafi keluar surat minta ‘deposit’ untuk pelaburan

Johari nafi keluar surat minta ‘deposit’ untuk pelaburan

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya kerana surat itu adalah palsu.

johari abdul ghani
Tangkap layar video menunjukkan Johari Ghani memegang surat palsu atas nama beliau, meminta pelabur bayar ‘deposit’ RM3,000 sebagai syarat untuk menerima keuntungan RM80,660 daripada pelaburan luar negara.
PETALING JAYA:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani menafikan pernah mengeluarkan surat supaya orang awam menyerahkan atau mendepositkan wang simpanan mereka ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi tujuan pelaburan.

Johari mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan yang menggunakan surat palsu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

“Kementerian tidak pernah mengeluarkan surat seperti ini.

“Orang ramai diminta supaya sentiasa berwaspada dan segera membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang surat atau tawaran pelaburan yang meragukan,” katanya di Facebook.

Beliau turut memuat naik video menunjukkan seorang lelaki bertemunya bersama sepucuk surat yang memaparkan jata negara serta kepala surat kementerian.

Surat itu, yang didakwa dikeluarkan atas nama Johari, meminta pelabur membayar ‘deposit’ RM3,000 dalam tempoh tiga hari bekerja sebagai syarat untuk menerima keuntungan RM80,660 daripada pelaburan luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.