Dasar automotif bagi kukuh industri, bukan jadikan negara ‘pasar raya’ EV

Dasar automotif bagi kukuh industri, bukan jadikan negara ‘pasar raya’ EV

Penganalisis beri amaran tanpa penyetempatan yang kukuh, pemain industri tempatan boleh terpinggir.

car factory
Tanpa pelan penyetempatan, kilang pemasangan EV asing di negara ini hanya memberi manfaat terhad kepada ekosistem automotif tempatan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani.
PETALING JAYA:
Dasar baharu kenderaan elektrik (EV) yang diperkenalkan kerajaan bertujuan memastikan ekosistem automotif Malaysia memperoleh nilai sebenar daripada kehadiran pengeluar kereta asing dan bukan sekadar ‘pasar raya’ bagi jenama import, kata pakar industri.
Samirul Ariff Othman
Samirul Ariff Othman.

Pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman berkata dasar diperkenalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) itu bukanlah untuk menyekat sepenuhnya kemasukan pengeluar EV asing.

Sebaliknya, beliau menjelaskan dasar itu bertujuan memastikan pemain baharu memberi sumbangan yang bermakna melalui komitmen eksport, penggunaan komponen tempatan serta pemindahan teknologi.

Menurutnya, keadaan itu jika berlaku akan menandakan perubahan lebih luas dalam strategi perindustrian negara.

“Apa yang berubah bukan siapa yang boleh masuk, tetapi syarat kemasukan itu.

“Kebimbangan utama bukan soal negara asal syarikat, tetapi mengelakkan Malaysia menjadi sekadar pasaran pengguna, lebih-lebih lagi ketika pasaran EV global sedang menghadapi lebihan bekalan dan persaingan harga sengit,” katanya kepada FMT.

Samirul menyifatkan pendekatan Malaysia sebagai berorientasikan pembangunan.

“Ia bertujuan memastikan persaingan mendorong penyetempatan, pembangunan kemahiran dan pemindahan teknologi, bukannya menyingkirkan pemain tempatan,” katanya.

Beliau berkata dasar Miti itu juga membuka ruang kepada pemain nasional untuk terus berkembang, sambil membantu ekosistem automotif berevolusi dan tidak merosot.

Beliau mengulas kritikan terhadap dasar tersebut serta syarat ketat dikenakan ke atas cadangan pelaburan oleh pengeluar EV China, BYD, yang didakwa bertujuan menyekat syarikat itu.

Johari Ghani.

Minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata BYD sedang menilai semula rancangan untuk membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim, Perak.

Antara syarat dikenakan ialah BYD perlu mengeksport sekurang-kurangnya 80% daripada kenderaan yang dipasang, manakala baki 20% mesti dijual pada harga melebihi RM200,000 seunit.

Johari berkata BYD telah memperoleh lesen pembuatan sementara pada September tahun lalu berdasarkan model pengeluaran berorientasikan eksport, selaras dengan Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Beliau turut menegaskan tanpa pelan penyetempatan, kehadiran kilang itu hanya akan memberi manfaat yang terhad kepada ekosistem automotif tempatan.

william ng
William Ng.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, pula memberi amaran bahawa dasar itu akan memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem automotif yang banyak bergantung kepada PKS.

Menurutnya, asas industri EV Malaysia akan semakin lemah tanpa perlindungan sewajarnya.

“Tanpa keperluan penyetempatan yang kukuh, Malaysia pada dasarnya akan menjadi pasar raya bagi EV asing. Kesan jangka panjangnya ialah asas industri kita akan terhakis.

“Ekonomi kita hanya akan mendapat manfaat daripada pekerjaan bernilai rendah seperti jualan dan penyelenggaraan, bukannya peranan bernilai tinggi dalam kejuruteraan dan pengeluaran.

“Kita juga akan terlepas peluang menjadi hab eksport EV serantau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.