
Pemain industri berkata, ramai rakyat Malaysia menunjukkan minat didorong harga yang menarik selain kos pengecasan bateri rendah berbanding harga petrol atau diesel, tetapi mereka belum memahami sepenuhnya realiti sebenar menanti selepas pembelian.
Sebagai contoh, mereka menyifatkan kebimbangan utama adalah kos tinggi penggantian bateri serta akses terhad kemudahan pengecasan, pusat pembaikan yang boleh dipercayai, dan pilihan penyelenggaraan.
Setakat April 2026, Malaysia mempunyai 5,619 petak pengecasan awam di seluruh negara, termasuk 1,898 pengecas pantas DC.
Bagaimanapun, sebahagian besar infrastruktur itu tertumpu di Lembah Klang, menyebabkan pemandu di luar pusat bandar bergelut dengan masa pengecasan yang lama dan kekurangan kemudahan pengecasan pantas.
Pemain industri berkata, kelemahan dalam sokongan penyelenggaraan dan pembaikan juga menjadi isu utama.
Daripada 10 bengkel automotif di sekitar Lembah Klang dihubungi FMT, tujuh daripadanya menyatakan buat masa ini mereka tidak menjalankan pembaikan berkaitan EV disebabkan kekurangan latihan khusus dan kebimbangan mengenai sistem bateri.
Ada bengkel berkata, mereka bersedia mengendalikan kerja berkaitan tayar atau suspensi melibatkan EV, namun mengelak melakukan pembaikan berkaitan bateri dan sistem perisian atas faktor risiko keselamatan serta keupayaan diagnostik yang terhad.
Eksekutif jualan di Carconnections Subang, Suresh Nair, berkata ramai pemilik EV terlalu bergantung kepada pusat servis bertauliah untuk mengendalikan masalah besar.
“Bengkel EV kini mula muncul, tetapi kebanyakannya masih belum lagi lengkap sepenuhnya,” katanya kepada FMT.
“Ia akan mengambil sedikit masa sebelum bengkel bebas ini dapat mengendalikan kereta elektrik dengan cara yang betul.”
Nair berkata, ramai pemilik tidak punya banyak pilihan selain kembali ke pusat bertauliah untuk pembaikan yang lebih besar melibatkan bateri atau sistem perisian.
“Untuk isu yang lebih besar, pelanggan perlu kembali ke pengedar atau pusat francais,” katanya.
Katanya, pemilikan EV di Malaysia tampak berkembang lebih cepat daripada ekosistem sokongan di sesetengah kawasan, terutamanya melibatkan pembaikan dan selenggaraan jangka panjang.
Kos penggantian bateri juga antara kerungsingan yang semakin meningkat bagi mereka yang memikirkan mengenai pemilikan jangka panjang.
Meskipun kebanyakan pengeluar EV menawarkan waranti bateri sekitar lapan tahun atau antara 160,000km hingga 180,000km, menggantikan bateri selepas tempoh waranti tamat cukup mahal.
Anggaran umum yang berlegar dalam industri EV di Malaysia menunjukkan kos penggantian bateri mampu mencapai antara RM20,000 hingga lebih RM50,000, bergantung kepada model kenderaan dan jenis bateri.
Berdasarkan perbincangan dalam satu kumpulan Facebook automotif terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih daripada 205,000 ahli, kebimbangan mengenai servis EV dan kos pemilikan jangka panjang juga dilihat semakin meningkat dalam kalangan pengguna jalan raya.
Dalam satu perbincangan yang dibaca FMT, seorang pengguna membandingkan anggaran kos servis bagi sebuah Zeekr 7X dengan Honda CR-V untuk jarak pemanduan 120,000km, di mana dia mendakwa kos selenggara EV tersebut boleh menjangkau lebih RM7,000, berbanding sekitar RM4,800 bagi SUV berkuasa petrol berkenaan.
Seorang pemilik EV, yang memperkenalkan dirinya sebagai Amanda, berkata dia terus menerima pemberitahuan amaran berkaitan bateri walaupun selepas menghantar kenderaannya berulang-kali untuk pemeriksaan.
“Selepas beberapa bulan, isu sama muncul kembali,” dakwanya.
Amanda berkata, pada mulanya dia membeli EV bertujuan menangani kenaikan harga petrol, namun kini menyesali keputusan itu disebabkan masalah teknikal yang berulang, serta ketidakpastian yang menyelubungi sokongan penyelenggaraan jangka panjang.
“Pada mulanya, saya fikir beralih kepada EV dapat menjimatkan wang saya kerana harga petrol yang terus meningkat. Tetapi, selepas berdepan semua isu ini, saya ada mempertimbangkan untuk menjual balik kereta ini,” tambahnya.