
Roland Engan juga menyeru kepada sikap terbuka kerana PKR merupakan parti berdaftar yang aktif di Sarawak.
“Sementara saya bersetuju bahawa hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik Sarawak, saya tidak bersetuju bahawa hanya parti tertentu seperti GPS yang benar-benar memahami budaya dan politik Sarawak tersebut.
“Parti politik nasional ini (PKR) dianggotai dan dipimpin oleh rakyat Sarawak juga dan menghormati autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Pengerusi GPS Abang Johari Openg mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon di semua kerusi DUN pada PRN akan datang, dan meminta ‘parti luar’ tidak menganggu kerana hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik di situ.
Roland menyifatkan kenyataan Abang Johari sebagai kenyataan politik semata-mata, dan menyeru kepada persaingan secara sihat dalam pilihan raya.
“Kerjasama boleh sahaja diadakan selepas pilihan raya demi kestabilan, jika situasi memerlukan semua pihak berbuat demikian,” katanya.
Penggal DUN Sarawak akan tamat Februari tahun depan, melainkan dibubarkan lebih awal. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran atau selewat-lewatnya menjelang April 2027.