Cadangan sistem ambil pekerja asing secara digital belum muktamad, kata Kesuma

Cadangan sistem ambil pekerja asing secara digital belum muktamad, kata Kesuma

Kementerian Sumber Manusia berkata tiada sebarang komitmen, pelantikan atau perjanjian dibuat dengan mana-mana pihak setakat ini.

foreign workers
Kementerian Sumber Manusia berkata ia sedang meneliti dan memperhalusi cadangan berkaitan sistem pengambilan pekerja asing secara digital melalui sesi libat urus. (Bernama pic)
PUTRAJAYA:
Semua cadangan berkaitan sistem pengambilan pekerja asing secara digital masih dalam peringkat penilaian dan belum diputuskan, selain tiada sebarang komitmen, pelantikan atau perjanjian dibuat dengan mana-mana pihak setakat ini.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, pihaknya sedang meneliti dan memperhalusi cadangan itu melalui sesi libat urus.

Sesi libat urus itu membabitkan negara sumber tenaga kerja serta pihak industri, termasuk penyedia teknologi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), yang digunakan bagi pengurusan pekerja asing ke Malaysia sejak 2015.

“Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan tidak benar, mengelirukan dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kajian menyeluruh terhadap ekosistem pekerja asing mendapati wujud kelompangan dalam komponen perekrutan di negara sumber, khususnya berkaitan isu ikatan hutang yang boleh mendedahkan pekerja kepada risiko eksploitasi.

Susulan itu, Kesuma sedang meneroka pembangunan sistem pengambilan pekerja asing secara digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh.

Katanya, pendekatan itu membolehkan pengambilan pekerja asing secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber, termasuk pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan, persetujuan kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja, serta fasilitasi penghantaran pekerja.

“Kos perekrutan akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing.”

Cadangan itu selaras prinsip pengambilan pekerja adil dan beretika yang diterapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), selain berpotensi menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa, di samping memperkukuh usaha Malaysia mencapai penarafan Tier 1 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Cadangan ini hanya tertumpu kepada proses perekrutan pekerja asing di negara sumber, iaitu di peringkat proses pascakelulusan kuota dan tidak mengganggu apa-apa proses praperekrutan seperti peranan agensi kawal selia, kelulusan kuota termasuk aktiviti penguatkuasaan kerajaan berlandaskan perundangan sedia ada.”

Sebarang pelaksanaan kelak akan tertakluk sepenuhnya kepada kawalan Kesuma dari segi dasar dan operasi, serta diintegrasikan dengan sistem sedia ada kerajaan, termasuk FWCMS dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

“Daripada aspek pengurusan pekerja asing, penglibatan dan peranan agensi pekerjaan swasta di Malaysia kekal dan tidak terjejas kerana Kesuma melihat cadangan ini sebagai platform yang boleh digunakan majikan atau melalui agensi pekerjaan swasta untuk menjalankan proses perekrutan.”

Usaha memperkukuh sistem perekrutan itu turut menerima sokongan positif beberapa negara sumber tenaga kerja utama seperti Bangladesh, Indonesia dan India, khasnya dalam meningkatkan ketelusan serta kecekapan operasi dan mewujudkan kesinambungan ekosistem pekerja asing menyeluruh daripada proses pra hingga pascaperekrutan.

Di peringkat industri pula, persatuan utama termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) turut menyokong usaha kerajaan memodenkan sistem pengambilan pekerja asing.

“Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) mewakili lebih 13,300 syarikat pengilangan juga secara terbuka menyambut baik cadangan ini, sekali gus mencerminkan keperluan industri terhadap sistem lebih telus, berdaya saing serta mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan mengawal kos perekrutan.”

Sebarang pelaksanaan kelak akan mematuhi semua tatakelola dan melalui proses pertimbangan serta persetujuan Jemaah Menteri, selepas libat urus dengan kementerian berkaitan, pihak industri dan negara sumber tenaga kerja bagi memastikan sistem dibangunkan benar-benar seimbang, berkesan dan memenuhi keperluan serta kepentingan negara.

Katanya, Kesuma kekal komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras utama reformasi pasaran buruh negara, selaras agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.