15 bekas AJK PKR Kangar letak jawatan selepas ponteng mesyuarat parti

15 bekas AJK PKR Kangar letak jawatan selepas ponteng mesyuarat parti

Ketua PKR Kangar Noor Amin Ahmad nafi dakwaan berlakunya keretakan dalam kepimpinan cabang itu.

Noor Amin Ahmad
Ketua PKR Kangar Noor Amin Ahmad berkata ada dalam kalangan mereka yang meletak jawatan tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat, manakala sebahagian lagi hanya hadir satu hingga tiga kali sahaja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 15 ahli jawatankuasa PKR Kangar termasuk timbalan ketuanya telah meletakkan jawatan selepas berulang kali gagal menghadiri mesyuarat parti, kata Ketuanya Noor Amin Ahmad.

Menafikan dakwaan berlakunya keretakan dalam kepimpinan, beliau berkata mereka membuat keputusan itu selepas menerima surat tunjuk sebab kerana tidak hadir sekurang-kurangnya enam mesyuarat rasmi parti.

Menurut Noor Amin, ada dalam kalangan yang meletak jawatan langsung tidak pernah hadir mesyuarat manakala sebahagian lagi hanya hadir antara satu hingga tiga kali sahaja.

Beliau berkata ketidakhadiran itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan parti tahun lalu, di mana calon mereka bagi jawatan ketua cabang, Gan Ay Ling, tewas.

“Mereka telah mengemukakan bantahan kepada jawatankuasa pemilihan pusat, namun keputusan kekal kerana bantahan tersebut didapati tidak sah,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sumber berkata kesemua 15 ahli itu telah menghantar surat kepada setiausaha agung PKR, mendakwa berlaku salah urus dan kelemahan kepimpinan dalam cabang berkenaan.

Mereka juga dilaporkan menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Noor Amin, selain menuduh beliau tidak menerima pandangan berbeza dalam kalangan ahli jawatankuasa.

Noor Amin bagaimanapun menegaskan cabang itu masih aktif dengan pelbagai mesyuarat dan program yang dijalankan.

“Sejak kemenangan saya, saya telah mengadakan enam mesyuarat dan satu mesyuarat agung tahunan, tidak termasuk sesi-sesi kecil.

“Sebagai ketua cabang, saya berhak melantik tambahan 11 ahli bagi memastikan kuorum mencukupi dan cabang dapat berfungsi dengan berkesan, bukannya menjadi tidak berdaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.