Bekas jaguh lari berpagar gesa Karim undur presiden MA

Bekas jaguh lari berpagar gesa Karim undur presiden MA

Bekas pelari berpagar kebangsaan, Hamdi Jaafar beri amaran krisis dalam Olahraga Malaysia boleh beri kesan kepada atlet muda negara.

Hamdi Jaafar
Hamdi Jaafar menggesa perubahan kepimpinan dan pembaharuan menyeluruh dalam Olahraga Malaysia yang kini berdepan krisis tadbir urus.
KUALA LUMPUR:
Bekas pelari berpagar kebangsaan, Hamdi Jaafar menggesa Presiden Olahraga Malaysia (MA), Karim Ibrahim meletakkan jawatan, sekali gus menambah desakan yang semakin memuncak untuk perubahan di peringkat tertinggi badan sukan itu.

Hamdi, kini berusia 59 tahun dan merupakan usahawan berjaya, berkata sudah tiba masanya untuk mengutamakan sukan berbanding kepentingan individu.

“Demi kepentingan atlit olahraga Malaysia, presiden perlu berundur,” katanya. “Beliau mesti melihat melangkaui kepentingan diri.”

Kenyataan itu menjadikan beliau individu berprofil tinggi kedua yang bersuara selepas Presiden Persatuan Olahraga Melaka, Fadzil Bakar sebelum ini turut menyuarakan pendirian sama.

Hamdi bukan tokoh asing dalam dunia olahraga negara. Pada 1991, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama mencatat masa bawah 52 saat dalam acara 400m berpagar, dan pada zaman itu Malaysia memiliki barisan pelari berpagar yang kuat.

Persaingannya dengan Kenny Martin dalam acara 400m berpagar serta Nur Herman Majid dalam 110m berpagar kekal antara yang paling diingati dalam sukan itu.

Hamdi memberi amaran krisis dalam MA boleh merebak melangkaui isu pentadbiran dan memberi kesan langsung kepada atlet.

“Saya sedih melihat atlet muda kita terperangkap dalam kemelut ini sedangkan ini bukan salah mereka. Jika ia dibiarkan berterusan, kesannya boleh menjadi serius.”

Pertikaian itu tertumpu kepada kelayakan Karim dan sama ada MA selaras dengan peraturan World Athletics.

Pada 2018, Mahkamah Timbang Tara Sukan mengekalkan dapatan terhadap Karim berhubung kes salah guna dana elaun atlet serta peranannya menasihati atlet mengelak ujian doping sebelum Sukan SEA 2011.

World Athletics kemudiannya memutuskan beliau tidak layak menerajui badan sukan di bawah rangka kerja integritinya.

MA kemudian meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan had penggantungan lima tahun.
Pindaan itu membolehkan Karim kembali, namun mencetuskan pertikaian tadbir urus dengan badan antarabangsa sukan olahraga tersebut.

Persekutuan itu kini berdepan tekanan untuk menyelesaikan isu berkenaan bagi mengelakkan kemungkinan dikenakan sekatan.

 Tampil Bersuara

Hamdi juga menggesa semua pihak berkepentingan untuk tampil bersuara dan memikul tanggungjawab.

“Masalah dalam persatuan sukan bukan perkara baharu. Tetapi kita tidak boleh terus berdiam diri. Kita mesti jujur, objektif dan memberi tumpuan kepada penyelesaian,” katanya.

Hamdi turut membangkitkan isu struktur yang lebih mendalam dalam persekutuan, termasuk kelemahan tadbir urus dan ketelusan, serta peranan tidak jelas, serta budaya yang menurut beliau membenarkan keputusan lemah tidak dicabar.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan terhadap pengurusan atlet, proses pemilihan, kegagalan komunikasi dan ketiadaan pelan pembangunan jangka panjang yang jelas.

Baginya, masalah ini melangkaui satu isu atau individu. “Ini soal membina semula sistem,” katanya.

Beliau kini berusaha menubuhkan satu gerakan melibatkan bekas atlet elit, jurulatih dan pegawai untuk mendorong reformasi, bermula dengan olahraga sebelum diperluas ke landskap sukan yang lebih luas.

Hamdi berkata perubahan bermakna mesti merangkumi struktur tadbir urus yang lebih kukuh, pemantauan bebas, perlindungan pemberi maklumat serta kerjasama lebih rapat dengan pihak berkuasa bagi menangani salah laku.

Namun, fokusnya kekal kepada atlet.

“Ini tentang masa depan atlet muda kita. Kita tidak boleh tersilap langkah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.