Mahkamah India sekat 2 pengarah Singapura dalam pertikaian projek usaha sama disokong Temasek

Mahkamah India sekat 2 pengarah Singapura dalam pertikaian projek usaha sama disokong Temasek

Lee Kim Tah (Pte) Ltd memperoleh perintah ex-parte terhadap dua beradik, seorang daripadanya pernah disabitkan kesalahan di Malaysia, susulan dakwaan kegagalan tadbir urus dan penyelewengan kewangan.

L&W Construction PL
Lee Kim Tah (Pte) Ltd, menyaman dua pengarah dilantik rakan usaha samanya, Woh Hup (Private) Limited, ke lembaga pengarah L&W Construction Private Limited atas dakwaan melanggar tanggungjawab fidusiari mereka. (Gambar Facebook L&W Construction PL)
PETALING JAYA:
Sebuah mahkamah komersial di Bengaluru mengeluarkan perintah sementara yang menghalang dua pengarah warga Singapura dalam sebuah syarikat usaha sama di India daripada memasuki sebarang transaksi tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Perintah ex-parte itu yang dikeluarkan awal bulan ini, dibuat terhadap dua beradik, Kim Yong Tiam Yoon dan Eugene Yong Kon Yoon, dalam kapasiti mereka sebagai pengarah L&W Construction Private Limited.

L&W ialah syarikat usaha sama 50:50 antara Lee Kim Tah (Pte) Ltd dan Woh Hup (Private) Limited, dua firma pembinaan terkemuka Singapura yang mempunyai projek di India berkaitan pemaju disokong Temasek, iaitu CapitaLand dan Mapletree.

Kim Yong ialah pengerusi Woh Hup, yang baru-baru ini memperoleh kontrak untuk membina kompleks peranginan dan hiburan baharu Las Vegas Sands bernilai USD10.27 bilion di Singapura.

Pada 2005, beliau mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dengan sebuah syarikat tersenarai dalam penyalahgunaan hasil terbitan awam berjumlah RM26.5 juta, dan didenda RM600,000.

Dalam kenyataan, Lee Kim Tah berkata injunksi itu dikeluarkan susulan saman yang difailkan terhadap dua beradik Yong berhubung dakwaan pelanggaran tanggungjawab fidusiari.

Perintah itu akan kekal berkuat kuasa sehingga 8 Jun, apabila kes kembali disebut di mahkamah untuk membolehkan defendan memberi maklum balas.

Saman itu turut menamakan L&W sebagai defendan ketiga.

Menurut nota prosiding dilihat FMT, Hakim Arjun S Mallur dari Mahkamah Sivil dan Sesyen Bandar Bengaluru berkata, plaintif telah membuktikan kes prima facie bagi mendapatkan relief interim tanpa notis kepada defendan.

Beliau berkata, pemberian notis akan menjejaskan dan melambatkan tujuan utama saman itu.

“Dalam perjalanan operasi pengurusan syarikat, didapati berlaku penyelewengan berskala besar, salah urus kewangan dan salah laku kewangan yang turut didedahkan melalui laporan difailkan sebuah firma guaman Singapura, sebuah firma guaman India, serta sebuah firma audit bebas.

“Defendan pertama dan kedua, walaupun mengetahui sepenuhnya salah laku tersebut, bersikap sambil lewa malah cuba memasuki kontrak baharu dengan mengetepikan dan seolah-olah tidak mengendahkan penyelewengan kewangan yang jelas,” kata hakim dalam keputusannya.

Dalam saman itu, Lee Kim Tah menuduh dua beradik tersebut secara salah melindungi seorang eksekutif kanan yang didakwa terbabit rasuah daripada dipertanggungjawabkan.

Dokumen mahkamah mendakwa satu audit tadbir urus bebas dimulakan selepas CapitaLand memaklumkan kepada pengarah L&W pada 2023 bahawa pekerja L&W didakwa membayar rasuah kepada kakitangan CapitaLand berhubung projeknya di Pune.

Menurut dokumen itu, audit tersebut turut mengenal pasti salah laku serius membabitkan seorang eksekutif kanan L&W.

“Dapatan itu amat serius dan jelas,” menurut memorandum oleh plaintif Lee Kim Tah.

Memorandum itu berkata, pada 2023, sebuah firma guaman Singapura telah mengesyorkan supaya L&W mengambil tindakan undang-undang terhadap eksekutif berkenaan dan rakan-rakan konspiratornya bagi mendapatkan semula 33 crore rupee India, kira-kira USD$3.5 juta, pelbagai bayaran tidak wajar serta kerugian susulan, selain menuntut pemulangan keuntungan yang diperoleh.

Bagaimanapun, menurut saman Lee Kim Tah, dua pengarah itu didakwa gagal mengambil tindakan segera walaupun dapatan tersebut serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.