
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, penubuhan itu menandakan anjakan besar daripada kerangka sedia ada yang lebih bersifat teknikal dan berasingan kepada sistem lebih menyeluruh serta bersepadu.
“Ini satu langkah ke hadapan yang amat signifikan dalam memastikan pengurusan bencana negara dipacu terus oleh kepimpinan tertinggi,” katanya dalam kenyataan.
Zahid berkata, cadangan penubuhan MPBN sebelum ini telah dibentangkan dan dihalusi dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana Pusat, selaras dengan hala tuju Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang dilancarkan pada 2024.
Beliau berkata, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu akibat perubahan iklim, pendekatan lama yang bersifat reaktif tidak lagi memadai.
“Kita memerlukan struktur yang membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan lebih berkesan dan tindakan di lapangan digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dan negeri,” katanya.
Menurutnya, MPBN akan menghimpunkan menteri persekutuan berkaitan, menteri besar, ketua menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan dalam satu platform tertinggi negara bagi pengurusan bencana.
“Melalui mekanisme ini, keputusan dapat dipercepat, penyelarasan diperkemas dan pelaksanaan di lapangan dapat digerakkan dengan lebih tersusun,” katanya.
Zahid berkata, penubuhan MPBN juga mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan tindak balas selepas bencana kepada penekanan terhadap kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko.
Dalam pada itu, beliau berkata, penstrukturan baharu itu akan memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai agensi peneraju utama, termasuk dari segi kapasiti, kepakaran dan keupayaan operasi.
“Penyelarasan pada peringkat negeri dan daerah turut akan diperkasa bagi memastikan tindak balas lebih pantas dan tersusun, sekali gus meningkatkan keberkesanan keseluruhan sistem pengurusan bencana negara,” katanya.