
Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata penghantaran itu hanyalah transit melalui perairan tempatan di bawah aturan komersial.
Beliau berkata, semakan dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan agensi lain mengesahkan perkara tersebut.
“Saya ada membaca laporan daripada agensi berita Australia yang menyatakan 200 juta liter diesel (sedang menuju ke Australia) melibatkan beberapa negara, termasuk Brunei dan Malaysia.
“Semakan dengan pusat komunikasi MTEN dan pihak-pihak lain mengesahkan ia bukan diesel Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Kabinet.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, berkata tambahan 200 juta liter diesel yang diperoleh dari Korea Selatan, Brunei, dan Malaysia akan dihantar ke Australia di bawah skim pembiayaan eksport persekutuan.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan Malaysia merancang menjual minyak kepada Australia, sambil menyatakan perbincangan bersama Albanese lebih tertumpu kepada keperluan strategik kedua-dua negara.
Anwar berkata, perbincangan bersama rakan sejawatan dari Australia itu menyentuh mengenai keperluan timbal balik, termasuk permintaan Malaysia untuk fosfat dari Australia, manakala Australia pula sedang mencari komoditi tertentu dari Malaysia, seperti urea.
Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata penghantaran berkenaan melibatkan diesel diperoleh dari negara lain tetapi disimpan di Malaysia, manakala penjualannya melibatkan kontrak antara Viva Energy dan BP Australia.
Dalam kenyataan, PMO menjelaskan kerajaan dan Petronas tidak menjual minyak atau diesel negara sebagaimana telah dinyatakan perdana menteri sebelum ini.