
Beliau berkata, pentadbiran negeri tidak mahu tergesa-gesa mengemukakan laporan yang tidak menyeluruh atau ‘separuh masak’, sebaliknya mahu memastikan setiap data disusun dengan teratur dan teliti.
“Memanglah kita belum bentang kerana maklumat belum lengkap. Ada data yang sudah dikemukakan, tetapi masih belum menyeluruh. Lebih baik dibawa ke sesi seterusnya.
“Kalau nak buat kerja, kita perlu membuat secara teratur, teliti dan sampai ke penghujungnya, bukan sekadar untuk memuaskan hati mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Showcase RS-1 di Bangunan Wisma DUN Selangor.
Menurutnya, antara maklumat masih diperlukan termasuk data kadar pertumbuhan ekonomi dan statistik kemiskinan terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dengan angka semasa hanya tersedia setakat 2024.
Sehubungan itu, Amirudin berkata laporan RS-1 dijangka dibentangkan dalam sesi khas DUN sekitar Jun atau Julai, sebelum sesi kedua DUN pada Ogos, dengan tempoh perbahasan maksimum lima hari.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Selangor Azmin Ali yang mendakwa Selangor tidak serius menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta gagal menunjukkan hala tuju jelas pentadbiran negeri selepas tamatnya RS-1 tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan sehingga 31 Dis lalu, sebanyak 79% daripada keseluruhan perancangan RS-1 telah dicapai.
Beliau berkata, RS-1 yang dibentangkan pada Ogos 2022 merangkumi 282 projek, program dan inisiatif, dengan 65% daripada Petunjuk Prestasi Induk (PPI) telah disiapkan sepenuhnya.
Katanya, ini termasuk pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam, Selangor Aero Park dan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey.
Beliau berkata jumlah pelaburan yang diluluskan sepanjang tempoh pelaksanaan RS-1 mencatatkan purata RM61.3 bilion setahun.