Moratorium pembalakan di Selangor masih berkuat kuasa, kata MB

Moratorium pembalakan di Selangor masih berkuat kuasa, kata MB

Amirudin Shari berkata aktiviti berlaku ketika ini hanya pembersihan terhad bagi projek infrastruktur termasuk lebuh raya dan kabel elektrik.

hutan tree
Menteri Besar Amirudin Shari berkata moratorium pembalakan selama 25 tahun bagi memelihara khazanah hutan yang diumumkan sejak 2010 masih berkuat kuasa. (Gambar fail)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor menegaskan moratorium pembalakan yang diumumkan sejak 2010 masih berkuat kuasa, meskipun terdapat aktiviti di kawasan hutan yang disalah tafsir sebagai pembalakan komersial.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata tiada sebarang pembalakan secara komersial dijalankan ketika ini, sebaliknya aktiviti yang berlaku hanyalah kerja pembersihan bagi tujuan tertentu.

“Moratorium masih berjalan. Dan tak ada apa-apa usaha pembalakan secara komersial. Yang ada bukan pembalakan tetapi melakukan pembersihan atas sebab-sebab tertentu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Showcase RS-1 di Bangunan Wisma DUN Selangor.

Menurut beliau, antara kerja yang dilaksanakan termasuk bagi projek pembinaan lebuh raya serta pembangunan rangkaian kabel elektrik yang memerlukan laluan tertentu di kawasan hutan.

Katanya, aktiviti tersebut dikawal ketat dan dihadkan.

Beliau mengulas gesaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) yang meminta kerajaan negeri menguatkuasakan moratorium pembalakan selama 25 tahun jika benar-benar serius dalam usaha menangani isu banjir.

Presiden Peka Rajesh Nagarajan berkata kerajaan negeri masih bergantung pada projek pelebaran dan pendalaman sungai yang menelan belanja besar, sedangkan punca asas banjir, iaitu pembalakan dan penebangan hutan, terus dibiarkan.

Rajesh berkata pada 2010, Jabatan Perhutanan menyatakan kerajaan negeri telah mengenakan moratorium pembalakan selama 25 tahun bagi memelihara khazanah hutan.

Selain menguatkuasakan moratorium pembalakan, Rajesh berkata, kerajaan negeri sepatutnya menggerakkan program penanaman semula hutan dan pemulihan ekologi di seluruh negeri, khususnya di kawasan hutan simpan dan tadahan air yang telah merosot.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.