
Shamsul Rijal Yussof, 74, dan Hamidah Hamid, 62, kedua-duanya bekas pengarah Spectrum Global Sdn Bhd, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di depan Hakim Azrul Darus, Shamsul didakwa menipu Afifi Ahmad, 49, dengan memperdayanya melabur dalam perniagaan diesel yang menjanjikan keuntungan.
Dia didakwa dengan curang mendorong Afifi memindahkan RM725,000 ke akaun bank Spectrum Global di sebuah bank di Desa Sri Hartamas pada 2.39 petang 26 Feb 2024.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Shamsul didakwa menerima RM20,000 daripada akaun bank Spectrum Global, dipercayai hasil aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Tun Razak pada 15 Mac 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.
Di depan Hakim Norma Ismail, Hamidah didakwa menerima RM130,000 yang dikatakan hasil aktiviti haram daripada akaun Spectrum Global di sebuah bank di Suria KLCC antara 6 hingga 29 Mac 2024.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama menerima RM122,000, juga dikatakan hasil aktiviti haram daripada akaun syarikat itu di sebuah bank di Taman Melawati pada 26 Feb 2024.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 untuk Shamsul dan RM20,000 bagi Hamidah. Sebutan semula kes ditetapkan 8 Jun ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Azmi dan Zulhilmi Latif. Peguam Farhanna Roslan mewakili Shamsul, manakala Hamidah tidak diwakili peguam.