Malaysia sertai Ahli Parlimen antarabangsa tandatangan Deklarasi Brussels

Malaysia sertai Ahli Parlimen antarabangsa tandatangan Deklarasi Brussels

Komponen penting dalam Deklarasi Brussels ialah gesaan wujud koridor kemanusiaan maritim ke Gaza untuk hantar barangan keperluan, apabila akses darat disekat.

Delegasi Malaysia yang menyertai Kongres Parlimen Global Sumud di Brussels, Belgium semalam. (Gambar Bernama)
BRUSSELS:
Malaysia menyertai Ahli Parlimen antarabangsa dan pihak berkepentingan dalam menandatangani Deklarasi Brussels di Kongres Parlimen Global Sumud, sekali gus menandakan usaha kolektif memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa berkaitan Palestin serta Lubnan.

Deklarasi itu menegaskan undang-undang antarabangsa mesti dilaksanakan secara konsisten dan berlandaskan niat baik, dengan menekankan tanggungjawab bukan sekadar pengiktirafan, tetapi turut merangkumi tindakan konkrit dalam melindungi penduduk terjejas serta memulihkan maruah dan hak penentuan nasib sendiri.

Antara rujukan utama termasuk dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pendudukan tidak sah secara berterusan wilayah Palestin serta kebimbangan terhadap kegagalan pelaksanaan langkah sementara dalam kes difailkan Afrika Selatan terhadap Israel.

Deklarasi itu turut menegaskan semula hak asasi yang tidak boleh dinafikan bagi rakyat Palestin dan Lubnan, termasuk kedaulatan, kebertanggungjawaban, pampasan serta kawalan terhadap sumber semula jadi.

Para penandatangan komited terhadap langkah perundangan, politik dan ekonomi diselaraskan, termasuk memastikan entiti negara serta swasta tidak menyumbang kepada situasi menyalahi undang-undang melalui perdagangan, pelaburan atau kerjasama teknologi.

Deklarasi itu turut menyeru kebertanggungjawaban melalui mekanisme antarabangsa serta menekankan keperluan segera untuk memulihkan keadaan diperlukan bagi kedaulatan ekonomi, termasuk sumber tanah, air, pertanian dan tenaga.

Satu komponen penting dalam deklarasi itu ialah gesaan mewujudkan koridor kemanusiaan maritim ke Gaza bagi memastikan penghantaran barangan keperluan dapat disalurkan, apabila akses darat disekat.

Delegasi Malaysia diketuai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Sani Araby.

Turut serta dalam delegasi itu ialah ahli jawatankuasanya, termasuk Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Delegasi itu turut disokong pertubuhan kemanusiaan seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia dan Gagasan MyAqsa Defender bersama pakar undang-undang Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia serta wakil media Bernama dan TV AlHijrah.

Mengulas dokumen itu, Syed Ibrahim yang juga timbalan menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata, sering timbul persoalan apa yang berlaku selepas sesuatu deklarasi ditandatangani, namun beliau menekankan kepentingan membina keyakinan dan sokongan.

“Kita tidak mahu deklarasi ini tinggal deklarasi saja. Kita akan lihat secara terperinci apakah yang kita boleh laksanakan di peringkat negara ataupun rantau.

“Kita mungkin tidak boleh laksanakan semuanya, tapi kita kena pilih mana yang paling penting dan kita letakkan keutamaan…bila keutamaan jelas, kita ada rancangannya insya-Allah.”

Menurutnya, perbincangan akan diteruskan di Malaysia membabitkan Ahli Parlimen, kumpulan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan bagi merangka pendekatan lebih tersusun serta diselaraskan.

Katanya, walaupun deklarasi itu tidak mengikat dari segi undang-undang, ia membawa makna dari sudut politik dan moral, mencerminkan komitmen bersama merentasi kerajaan dan pembangkang.

Penandatanganan Deklarasi Brussels itu menandakan berakhirnya Kongres Parlimen Global Sumud yang berlangsung di sini, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.