Malaysia akan mohon PBB semak semula penugasan pengaman di Lubnan

Malaysia akan mohon PBB semak semula penugasan pengaman di Lubnan

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata keadaan semasa di Lubnan tidak lagi selamat untuk misi pengaman.

malbatt
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata misi pengaman berkenaan dijadualkan akan tamat hujung tahun ini namun Malaysia tidak boleh membawa pulang anggota terbabit secara unilateral. (Gambar Bernama)
REMBAU:
Malaysia akan memohon Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyemak semula terma penugasan pengaman termasuk Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 dalam Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil) susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di negara itu.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata keadaan semasa di Lubnan tidak lagi selamat untuk misi pengaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan lebih 500 anggota Malbatt 850-13 yang berada di sana.

“Keadaan di Lubnan sekarang ini tidak lagi berasaskan kepada misi pengaman. Pasukan itu (Malbatt) merupakan pasukan pengaman, tapi dah perang di sana, jadi saya sudah berbincang dengan Kementerian Pertahanan (mengenai perkara itu).

“Jika keadaan sebegini, kita nak minta supaya PBB menyemak semula terma atau tarikh matangnya supaya kita tidak mahu anggota tentera yang merupakan anggota pasukan pengaman ini terdedah atau tercedera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dalam DUN Rantau, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Adun Rantau berkata misi pengaman berkenaan dijadualkan akan tamat hujung tahun ini, namun Malaysia tidak boleh membawa pulang anggota terbabit secara unilateral kerana penugasan tersebut berada di bawah mandat PBB.

“Melainkan Majlis Keselamatan PBB memutuskan untuk memendekkan tempoh misi pasukan pengaman kerana ia tidak lagi sejajar dengan misi mengawal keselamatan…ia tidak selamat lagi, kita tidak mahu anggota pengaman Malaysia atau negara lain tercedera atau terbunuh,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia telah mengarahkan wakil tetap Malaysia ke PBB untuk berunding dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres serta berpakat dengan negara yang mengonggotai pasukan pengaman bagi menyediakan memorandum kepada badan dunia itu.

“Ada banyak negara menjadi pasukan pengaman dan saya telah arahkan wakil tetap kita untuk berurusan dengan setiausaha agung PBB supaya berpakat dengan negara menganggotai pasukan pengaman untuk memutuskan supaya jika keadaan getir sebegini, kita tak perlu tunggulah sampai hujung tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan melalui keputusan Kabinet turut meminta Kementerian Pertahanan supaya anggota Malbatt tidak lagi melaksanakan rondaan di kawasan operasi sebaliknya kekal berada di pangkalan sebagai langkah keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Malaysia memantau rapi pergerakan enam kapal minyak negara yang masih terkandas di Selat Hormuz.

“Kapal kita tak boleh lalu sekarang kerana Selat Hormuz ditutup tapi kelulusan untuk kapal kita lalu dah diberi (sebelum ini). Satu kapal telah selamat keluar dari selat itu dan kini menuju ke kilang penapisan minyak di Pengerang, Johor, ada enam lagi (kapal dan) kita tengok macam mana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.