Pikom sokong tenaga nuklear, solar untuk kuasa pusat data

Pikom sokong tenaga nuklear, solar untuk kuasa pusat data

Persatuan teknologi kebangsaan berkata sektor pusat data negara kekal stabil buat masa ini tetapi memerlukan alternatif jangka panjang.

data centre
Pikom berkata grid elektrik sedia ada mungkin akan hadapi tekanan pada masa depan jika negara terus bergantung kepada sumber tenaga sedia ada untuk menyokong permintaan pusat data. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom) melihat tenaga nuklear dan tenaga solar sebagai antara pilihan jangka panjang bagi menyokong industri pusat data Malaysia yang semakin berkembang di tengah-tengah peningkatan permintaan tenaga.

Pengerusinya, Alex Liew berkata sektor itu masih stabil buat masa ini walaupun terdapat kebimbangan mengenai krisis tenaga global dan penggunaan tenaga yang tinggi oleh pusat data.

“Namun untuk jangka panjang, kita boleh mempunyai tenaga alternatif seperti solar. Mungkin kita juga perlu beralih kepada tenaga nuklear,” katanya pada pelancaran laporan bertajuk ‘Beyond Compliance: The State of Cyber Resilience in Malaysia 2026’ di Sidang Kemuncak Future of Cybersecurity.

Liew berkata grid elektrik sedia ada mungkin akan hadapi tekanan pada masa depan jika negara terus bergantung kepada sumber tenaga sedia ada untuk menyokong permintaan pusat data.

Beliau berkata pembinaan loji janakuasa baharu atau peningkatan kecekapan kemudahan sedia ada memerlukan masa, menjadikan pertimbangan awal terhadap sumber tenaga alternatif sebagai langkah penting.

“Sudah tentu dengan solar, tetapi lebih-lebih lagi dengan nuklear. Saya rasa ia lebih cepat dari segi peningkatan kapasiti,” katanya, sambil menambah bahawa tenaga solar dan nuklear boleh melengkapkan campuran tenaga sedia ada seperti hidro, arang batu dan gas, bukan menggantikannya.

Pertumbuhan pesat sektor pusat data Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan grid tenaga negara, susulan krisis tenaga global yang dipacu ketegangan di Timur Tengah dan Selat Hormuz.

Penggunaan tenaga pusat data dijangka melebihi 5,000 megawatt menjelang 2035, bersamaan 40% daripada kapasiti semasa bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata grid nasional masih mampu membekalkan tenaga mencukupi bagi projek pusat data yang telah diluluskan walaupun permintaan meningkat.

Beliau turut berkata kerajaan telah memperketat kelulusan bagi pusat data baharu bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan elektrik dan air.

Kenaikan harga RAM, SSD tambah tekanan

Sementera, dalam sidang media, Liew berkata harga komponen komputer utama seperti memori (RAM) dan pemacu storan (SSD) meningkat berikutan ketidaktentuan global serta permintaan tinggi daripada sektor kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata kapasiti bagi komponen tersebut semakin disalurkan kepada pelayan dan aplikasi AI, sekali gus menjejaskan bekalan untuk kegunaan lain.

“Dan ini akhirnya akan menjejaskan cip, bukan sahaja RAM dan SSD,” katanya.

Liew berkata harga meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sekali gus memberi kesan kepada penyedia, pengeluar dan pengguna.

“Saya rasa dari Disember hingga kini, harga RAM meningkat daripada RM30 kepada RM100,” katanya.

Beliau berkata kenaikan kos itu telah dipindahkan kepada pelanggan kerana penyedia dan pengeluar tidak mampu menanggung peningkatan harga tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.